Kategorikan aduan ‘MPSP Watch’ – Rezal Huzairi

BUKIT MERTAJAM – Ahli Majlis bagi Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Rezal Huzairi Md. Zaki berkata, langkah awal dengan mengkategorikan aduan dalam sistem pintar MPSP Watch wajar dipertimbang oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) berkenaan.

Ini kerana, katanya, aduan- aduan yang dikategorikan mengikut daerah, kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) serta kampung dan desa akan memudahkan pihak berwajib mengambil tindakan susulan.

“Saya ingin mencadangkan supaya MPSP mengambil pendekatan awal dengan mengkategorikan aduan yang diterima daripada MPSP Watch atau ‘Sistem Pemantauan Pintar’. “Ianya (operasi sedia ada MPSP Watch) perlu lagi kita (MPSP) perhalusi bagi kita mengenalpasti daerah mana dan kawasan mana yang sering MPSP mendapat aduan,” ujarnya di Kompleks Ibu Pejabat MPSP dekat Bandar Perda di sini.

Cadangan itu disampaikan semasa beliau menyampaikan ucapan penangguhan di depan Yang di-Pertua MPSP, Maimunah Mohd. Sharif sempena Mesyuarat Penuh Majlis baru-baru ini.

Cadangan tersebut, katanya, sekaligus dapat mengelak pihak tidak bertanggungjawab dari mengambil kesempatan untuk memburuk-burukkan imej pihak berkuasa tempatan (PBT) menerusi laman sosial Facebook berkenaan.

MPSP Watch sejak diperkenalkan pada tahun 2011 direkodkan menerima 70 aduan daripada pelanggan dan 680 aduan lain pada tahun berikutnya.

Sehingga bulan September tahun ini, laman sosial itu direkodkan menerima sebanyak 1,426 aduan atau 109 peratus berbanding tahun lepas.

Dalam perkembangan berkaitan, sesi dialog pelanggan serta kajian MPSP pada 6 Julai lepas mendapati 41 peratus responden bersetuju bahawa ‘Perkhidmatan Kebersihan’ wajar menjadi keutamaan MPSP serta warga Seberang Perai.