Kaunter bergerak PDTSPU perkukuh penyampaian maklumat, bantu rakyat fahami cukai tanah

Admin
img 20260424 wa0036

BERTAM – Pejabat Daerah dan Tanah Seberang Perai Utara (PDTSPU) terus mempergiat usaha merakyatkan perkhidmatan awam menerusi pelaksanaan inisiatif kaunter bergerak yang dilihat semakin mendapat sambutan positif dalam kalangan penduduk setempat.

Pegawai Daerah Seberang Perai Utara (SPU), MOHD. HAFIZ ASWAD NADZRI berkata, kaunter bergerak merupakan pendekatan proaktif bagi mendekatkan perkhidmatan kepada rakyat, selaras dengan hasrat kepimpinan negeri yang menekankan penyampaian perkhidmatan secara lebih inklusif dan mesra rakyat.

Menurut beliau, meskipun fungsi kaunter bergerak tidak dinyatakan secara khusus dalam skop tugas Pejabat Tanah, khususnya melibatkan Unit Hasil, pihaknya mengambil inisiatif untuk keluar daripada kaedah konvensional yang hanya bergantung kepada kaunter statik di Pejabat Tanah.

“Selama ini, kita mengamalkan konsep rakyat datang kepada kita.

“Namun, pendekatan itu kini perlu diubah kerana kita juga perlu turun padang dan mendekati rakyat secara langsung melalui kaunter bergerak,” katanya dalam wawancara khas bersama Buletin Mutiara di pejabat beliau di sini pada 24 April 2026.

img 20260424 wa0018
Mohd. Hafiz Aswad Nadzri bersama-sama kakitangan Unit Hasil yang menjayakan inisiatif kaunter bergerak.

Beliau menjelaskan, Unit Hasil kini memainkan peranan lebih aktif dengan turun ke lokasi strategik seperti pasar raya, pasar awam, kawasan perumahan termasuk kediaman strata serta premis swasta bagi menyediakan perkhidmatan secara terus kepada rakyat.

“Inisiatif ini telah menerima maklum balas yang amat menggalakkan.

“Sebagai contoh, pembukaan kaunter bergerak di Lotus’s Bagan Ajam baru-baru ini mendapat sambutan ramai, malah penduduk memuji usaha tersebut kerana memudahkan urusan mereka.

“Rakyat boleh terus membuat bayaran cukai tanah atau mendapatkan maklumat berkaitan urusan tanah tanpa perlu hadir ke pejabat.

“Ini jelas memudahkan mereka, terutamanya bagi yang mempunyai kekangan masa,” ujarnya.

Tingkat kesedaran cukai tanah strata

Mengulas lanjut, Mohd. Hafiz berkata, antara fokus utama kaunter bergerak adalah untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan pemilik kediaman strata yang didapati masih rendah.

Menurut beliau, ramai pemilik strata tidak menyedari bahawa mereka turut bertanggungjawab membayar cukai petak, sebaliknya hanya memahami keperluan membayar cukai pintu serta yuran penyelenggaraan kepada Badan Pengurusan Bersama (JMB) atau Badan Pengurusan (MC).

“Apabila kita turun sendiri ke lapangan, kita dapati masih ramai yang kurang faham mengenai tanggungjawab ini.

“Ada juga kes melibatkan unit yang masih belum mempunyai hak milik strata, terutamanya skim perumahan lama.

“Sehubungan itu, kaunter bergerak bukan sahaja berfungsi sebagai medium kutipan hasil, malah menjadi platform penting untuk menyampaikan maklumat dan meningkatkan kesedaran rakyat,” ujarnya.

img 20260424 wa0042
Sistem PGLand yang membolehkan pemilik tanah membayar cukai secara dalam talian.

Tambah beliau, keperluan untuk mempergiat kutipan cukai juga didorong oleh penetapan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang memerlukan jumlah kutipan tertentu dicapai setiap tahun.

“Jika kita hanya menunggu rakyat datang, sasaran itu sukar dicapai, maka kita perlu lebih agresif dan proaktif mendekati mereka,” katanya.

Penerangan kadar baharu cukai tanah

Mohd. Hafiz memaklumkan bahawa pelaksanaan kaunter bergerak tersebut juga bertujuan membantu pemilik lot mendapatkan penerangan tepat berhubung cukai tanah, termasuk implikasi persempadanan semula yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri.

Menurut beliau, pada tahun 2026, Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah melaksanakan semakan kadar cukai tanah selaras dengan Seksyen 101 Kanun Tanah Negara (KTN), selepas lebih 30 tahun tidak disemak.

“Semakan ini turut dilaksanakan bersama proses persempadanan semula tanah berdasarkan Seksyen 11(ca) dan 11(d) KTN yang memberi kuasa kepada Pihak Berkuasa Negeri untuk mengubah sempadan serta mewartakan kawasan baharu bagi tujuan penyelarasan pentadbiran tanah.

“Di SPU, sebanyak enam bandar baharu diwartakan iaitu Sungai Dua, Teluk Air Tawar, Bertam, Tasek Gelugor, Pokok Sena dan Ara Kuda.

“Selain itu, bandar sedia ada iaitu Butterworth dan Kepala Batas turut diperluaskan,” jelasnya.

img 20260424 wa0040
Mohd. Hafiz Aswad Nadzri.

Beliau berkata, kedua-dua pelaksanaan tersebut telah memberi implikasi peningkatan kadar cukai tanah yang agak ketara kepada sebahagian pemilik tanah, sekali gus menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.

“Justeru, melalui kaunter bergerak, kita jelaskan bahawa kadar baharu ini mengambil kira beberapa faktor seperti lokasi, keluasan dan kegunaan tanah,” katanya.

Dalam masa sama, beliau turut mengingatkan bahawa cukai tanah perlu dibayar sekali setahun dalam tempoh Januari hingga Mei.

“Justeru, tempoh tersebut memerlukan gerak kerja yang lebih aktif bagi memastikan pemilik tanah menunaikan tanggungjawab masing-masing,” katanya.

Promosi pembayaran digital PGLand

Mengulas mengenai kaedah pembayaran, beliau berkata, buat masa ini bayaran cukai tanah hanya boleh dibuat melalui kaunter Pejabat Daerah dan Tanah atau secara dalam talian melalui sistem PGLand.

Namun, tahap kesedaran terhadap penggunaan sistem PGLand masih rendah dalam kalangan masyarakat.

“Oleh itu, selain membuka kaunter bergerak, kami juga giat mempromosikan penggunaan sistem PGLand serta menyebarkan maklumat melalui media sosial seperti Facebook dan TikTok agar rakyat lebih mudah mendapatkan maklumat terkini,” jelasnya.

Elak pelucuthakan tanah melalui kesedaran

Dalam pada itu, Mohd. Hafiz turut menekankan kepentingan membayar cukai tanah bagi mengelakkan tindakan pelucuthakan seperti yang diperuntukkan dalam Kanun Tanah Negara (KTN).

Menurut beliau, meskipun tindakan rampasan jarang dilakukan, namun ia tetap boleh dikenakan terhadap pemilik yang gagal melunaskan cukai dalam tempoh yang lama.

“Di SPU, kes rampasan tanah masih rendah iaitu hanya 91 kes atau kurang daripada satu peratus daripada kira-kira 100,000 pemilik tanah.

“Namun, kebanyakan kes melibatkan tunggakan melebihi tujuh hingga 10 tahun, malah ada yang lebih 20 tahun,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa tindakan pelucuthakan adalah langkah terakhir selepas pelbagai usaha dilakukan untuk menggalakkan pembayaran.

“Tanah di Pulau Pinang mempunyai nilai yang tinggi, jadi kita tidak sewenang-wenangnya melucut hak, sebab itu kita fokus kepada kesedaran dan kutipan hasil, bukan perampasan,” tambahnya.

Kemudahan bayaran ansuran

Katanya, kaunter bergerak tersebut turut menyediakan pelbagai kemudahan kepada pemilik lot, termasuk permohonan rayuan pengurangan cukai tanah, semakan semula kadar cukai serta permohonan bayaran secara ansuran.

“Turut ditawarkan adalah perkhidmatan mengemas kini alamat pada bil cukai, semakan akaun cukai tanah atau petak, pembayaran cukai, cetakan bil, khidmat nasihat permohonan tanah serta penyelesaian isu berkaitan tanah.

“Malah, kaunter ini juga berfungsi sebagai pusat sehenti (One Stop Centre) bagi mendapatkan maklumat berhubung penstrukturan semula tanah desa kepada bandar, termasuk khidmat nasihat berkaitan kes pelucuthakan tanah dan prosedur untuk mendapatkan semula hak milik.

“Inisiatif ini bukan sekadar memudahkan urusan bayaran, tetapi juga menjadi platform penting untuk rakyat mendapatkan penjelasan terus daripada pegawai yang berpengalaman dalam pentadbiran tanah,” jelasnya lagi.

Dalam usaha membantu rakyat, katanya, Pejabat Tanah SPU turut menawarkan kemudahan bayaran cukai tanah secara ansuran kepada pemilik yang mempunyai tunggakan tinggi.

“Pemilik boleh membuat rayuan dan kebiasaannya permohonan ansuran akan diluluskan kerana ia tidak melibatkan pengurangan bayaran, hanya kaedah pembayaran secara berperingkat.

“Selain itu, permohonan pengurangan bayaran juga boleh dipertimbangkan, namun tertakluk kepada kelulusan jawatankuasa khas pada peringkat negeri,” tegasnya.

Mengulas lanjut, Mohd. Hafiz memberitahu bahawa sejak diperkenalkan pada Oktober tahun lalu, kaunter bergerak SPU telah dibuka lebih 100 kali di pelbagai lokasi dengan kekerapan setiap minggu.

Dalam tempoh enam bulan pelaksanaan, PDTSPU menerima maklum balas yang amat menggalakkan, khususnya daripada penduduk di kawasan Butterworth dan Tasek Gelugor.

“Ramai pemilik tanah menghadapi kekangan masa dan jarak untuk hadir ke pejabat.

“Jadi, apabila kita turun ke kawasan mereka, urusan menjadi lebih mudah dan cepat,” tambahnya.

Selain kawasan tumpuan awam, pihaknya turut menjalinkan kerjasama dengan agensi kerajaan lain melalui penyertaan dalam program pembangunan, ekspo dan karnival.

Mohd. Hafiz optimis bahawa pendekatan turun padang ini mampu meningkatkan kesedaran masyarakat serta memperkukuh sistem penyampaian perkhidmatan awam di negeri ini.

“Apabila kita hadir sendiri di lapangan, rakyat bukan sahaja mudah berurusan, malah lebih memahami tanggungjawab mereka.

“Inilah matlamat utama kaunter bergerak iaitu mendekatkan perkhidmatan dan membina kesedaran dalam kalangan masyarakat mengenai tanggungjawab membayar cukai tanah,” ujarnya.

Dalam perkembangan berkaitan, PDTSPU memaklumkan bahawa kaunter bergerak akan dibuka di Lotus’s Bagan Ajam pada 3 Mei 2026 (Sabtu) bermula jam 9 pagi hingga 3 petang, manakala satu lagi lokasi di Mydin Bertam pada 23 Mei 2026.

“Orang ramai khususnya penduduk di sekitar SPU digalakkan hadir bagi mendapatkan perkhidmatan yang disediakan,” katanya.

Seruan kepada masyarakat

Mohd. Hafiz berharap masyarakat di SPU dapat memanfaatkan sepenuhnya kemudahan kaunter bergerak ini, terutama dalam mendapatkan maklumat berkaitan isu tanah dan cukai tanah.

“Inisiatif ini bukan sahaja menjimatkan masa, tenaga dan kos, malah membolehkan rakyat mendapatkan khidmat nasihat secara langsung daripada pegawai yang berpengalaman.

“Kami juga menggalakkan orang awam untuk mengikuti laman rasmi PDTSPU di Facebook, TikTok dan laman web bagi mendapatkan maklumat terkini mengenai lokasi kaunter bergerak serta inisiatif baharu yang akan dilaksanakan,” katanya.

Beliau optimis bahawa pendekatan turun padang ini mampu meningkatkan kesedaran masyarakat, sekali gus memperkukuh sistem penyampaian perkhidmatan awam yang lebih efisien dan berkesan di daerah SPU.

Oleh: SUNARTI YUSOFF
Gambar: G. REVATIC