Kawasan lapang jadi nadi komuniti, MBSP terus perluas inisiatif bandar hijau berdaya huni

Admin
collage 2026 07 22 09 45 40

SEBANYAK 76 kawasan lapang di seluruh Seberang Perai berjaya dinaik taraf dalam tempoh tiga tahun lalu, sekali gus memberi nafas baharu kepada ruang awam sebagai lokasi riadah, rekreasi dan interaksi sosial yang lebih selesa, selamat serta kondusif untuk masyarakat.

 

 

Inisiatif berterusan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) itu bukan sahaja memperindah landskap bandar, malah memperkukuh peranan kawasan lapang sebagai nadi komuniti yang menyokong gaya hidup sihat, mengeratkan hubungan kejiranan dan meningkatkan kualiti hidup penduduk.

 

 

Datuk Bandar MBSP, DATO’ BADERUL AMIN ABDUL HAMID berkata, perubahan paling ketara selepas kerja-kerja naik taraf adalah peningkatan penggunaan kawasan lapang oleh masyarakat setempat.

 

 

“Kawasan yang sebelum ini kurang dimanfaatkan kini menjadi lebih aktif, selamat dan kondusif.

 

 

Kemudahan yang disediakan menggalakkan pelbagai aktiviti seperti berjalan kaki, bersenam, permainan kanak-kanak serta penganjuran program-program komuniti.

 

 

“Peningkatan ini turut membantu menggalakkan gaya hidup sihat, mengeratkan hubungan kejiranan serta mewujudkan persekitaran tempat tinggal yang lebih ceria, selesa dan berdaya huni,” ujarnya ketika dihubungi Buletin Mutiara baru-baru ini.

 

baderul amin2
BADERUL Amin Abdul Hamid.

 

Menurut beliau, kejayaan tersebut mendorong MBSP meneruskan program menaik taraf kawasan lapang secara berperingkat berdasarkan keperluan penduduk, keadaan kemudahan sedia ada dan kemampuan kewangan.

 

 

MBSP akan meneruskan program menaik taraf kawasan lapang secara berperingkat dari semasa ke semasa, tertakluk kepada keperluan setempat, tahap kerosakan kemudahan, keutamaan komuniti dan kemampuan peruntukan kewangan.

 

 

“Pendekatan ini penting bagi memastikan kawasan lapang awam sentiasa relevan, selamat, berfungsi dengan baik dan memenuhi keperluan penduduk,” katanya.

 

 

Beliau menjelaskan, antara kriteria utama yang menjadi pertimbangan MBSP adalah keadaan fizikal kawasan, aduan dan permohonan penduduk, tempoh sejak kali terakhir dinaik taraf, kesesuaian tapak, keperluan golongan kanak-kanak, warga emas serta orang kurang upaya (OKU), selain ketersediaan peruntukan.

 

 

Tegasnya, keutamaan diberikan kepada kawasan yang mempunyai keperluan mendesak, kadar penggunaan tinggi dan mampu memberi manfaat kepada lebih ramai penduduk.

 

 

“Dalam tempoh satu hingga dua tahun akan datang, MBSP telah mengenal pasti 26 lagi lokasi untuk dipertimbangkan bagi pelaksanaan projek naik taraf pada tahun 2027 dan 2028.

 

 

Sebagai rekod, terdapat 1,462 kawasan lapang di seluruh Seberang Perai yang merangkumi 1,110 skim perumahan, dan jumlah tersebut dijangka terus meningkat seiring pembangunan baharu.

 

 

“(Dan) bagi memastikan semua kemudahan sentiasa selamat digunakan, MBSP melaksanakan pemeriksaan berkala melalui kontraktor panel serta pasukan dalaman.

 

 

“Ia merangkumi pemeriksaan alat permainan, peralatan senaman, laluan pejalan kaki dan kemudahan taman lain, manakala sebarang kerosakan yang menjejaskan keselamatan akan diberi tindakan segera,” jelasnya lanjut.

 

taman mangga2 (1)
KAWASAN lapang di Taman Mangga yang siap dibangunkan oleh pihak MBSP sebagai kawasan rehat dan riadah seisi keluarga.

 

Dalam pada itu, mengulas mengenai penglibatan komuniti, Baderul Amin memaklumkan bahawa setiap projek naik taraf turut melibatkan penyertaan komuniti menerusi proses Gender Responsive and Participatory Budgeting (GRPB) bagi mendapatkan pandangan serta cadangan penduduk sebelum kerja dilaksanakan.

 

 

Selain sesi libat urus, maklum balas juga diperoleh menerusi aduan rasmi, wakil penduduk, Ahli Majlis, Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Komuniti (JPKK) serta lawatan tapak.

 

 

“MBSP turut merancang memperkenalkan lebih banyak elemen inklusif di kawasan lapang seperti peralatan senaman berimpak rendah untuk warga emas, alat permainan inklusif bagi OKU, Wellness Station, kawasan teduhan, tempat duduk yang mencukupi serta pencahayaan yang lebih baik, tertakluk kepada kesesuaian lokasi dan kelulusan peruntukan,” katanya.

 

 

Bercakap tentang cabaran pelaksanaan projek, Baderul Amin memberitahu bahawa peningkatan kos bahan binaan dan peralatan rekreasi, kekangan fizikal tapak, masalah saliran, pertindihan utiliti serta vandalisme antara isu utama yang perlu ditangani.

 

 

Walaupun berdepan pelbagai cabaran, beliau sekali lagi menegaskan bahawa projek naik taraf kawasan lapang terus menjadi antara agenda penting MBSP dalam menyokong pembangunan bandar raya yang mampan.

 

 

Projek naik taraf kawasan lapang ini secara langsung menyokong aspirasi Seberang Perai sebagai bandar raya yang mampan, sihat, hijau, inklusif dan berdaya huni.

 

 

“Penyediaan ruang riadah yang berkualiti menggalakkan aktiviti fizikal, mengurangkan gaya hidup yang tidak aktif dan menyediakan ruang interaksi sosial kepada komuniti.

 

 

“Dari aspek kelestarian, kawasan lapang yang dilengkapi landskap dan pokok teduhan membantu meningkatkan kehijauan bandar, mengurangkan kesan haba, meningkatkan keselesaan persekitaran dan menyokong biodiversiti bandar.

 

 

“Inisiatif ini juga menepati aspirasi pembangunan mampan yang memfokuskan kepada kesihatan masyarakat, komuniti berdaya tahan serta tindakan menangani perubahan iklim,” jelasnya.

 

 

Beliau turut menjelaskan bahawa setiap projek pembangunan perumahan baharu diwajibkan menyediakan kawasan lapang dan kemudahan rekreasi mengikut syarat Pelan Kebenaran Merancang, manakala pemaju bertanggungjawab melaksanakan kerja landskap sebelum kawasan berkenaan diserahkan kepada MBSP.

 

 

Mengakhiri perkongsian, Baderul Amin menyeru penduduk agar bersama-sama memelihara kemudahan awam yang telah disediakan.

 

 

Harapan MBSP adalah supaya setiap kawasan lapang yang dinaik taraf dimanfaatkan sepenuhnya oleh komuniti sebagai ruang untuk beriadah, berinteraksi dan menjalankan aktiviti kemasyarakatan dengan sebaiknya.

 

 

“Kawasan lapang bukan sekadar menyediakan kemudahan fizikal, tetapi bertindak sebagai ruang yang mampu menyatukan penduduk daripada pelbagai peringkat umur dan latar belakang.

 

 

“MBSP amat berharap kemudahan ini dapat melahirkan masyarakat yang lebih aktif, sihat, prihatin terhadap alam sekitar serta mempunyai hubungan kejiranan yang lebih erat.

 

 

“Pada masa yang sama, seluruh lapisan masyarakat diseru untuk bersama-sama menjaga kemudahan yang disediakan agar manfaatnya terus dinikmati dalam jangka masa panjang,” katanya.

 

 

 

Gambar: MUHAMMAD IQBAL HAMDAN & MBSP