Kayuhan ambang Ramadan di Pulau Pinang muhibah – Ketua Menteri

GEORGE TOWN – Mungkin di Pulau Pinang sahaja, kayuhan sempena sambutan bulan Ramadan yang kian kunjung tiba pada malam ini begitu muhibah dengan kehadiran Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow sebagai perasmi acara.

KETUA Menteri menyampaikan ucapan sebelum menyempurnakan acara pelepasan peserta kayuhan ria ambang Ramadan di sini tadi.

Ketika berucap, Kon Yeow yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Tanjong menzahirkan perasaan gembira melihat suasana muhibah dalam acara yang dianjurkan secara bersama antara gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Liga Muslim Pulau Pinang, Arif Cycling Team (ACT) dan Penang Mountain Bike Association – PMA.

“Saya gembira melihat penyertaan yang cukup baik dan menggalakkan, bukan sekadar sebagai aktiviti riadah dalam komuniti tetapi lebih bertujuan bagi mengumpul dana untuk disumbangkan kepada tiga rumah kebajikan terpilih.

“Inilah salah satu contoh badan bukan kerajaan (NGO) yang harus diberi pujian atas usaha murni yang sentiasa menjadikan kebajikan sosial rakyat sebagai agenda penting dalam penubuhan organisasi masing-masing,” jelasnya yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Ekonomi dan Komunikasi di perkarangan depan Pejabat Liga Muslim Pulau Pinang dekat Lebuh Queen di sini pada 10 April 2021.

Turut berucap, Timbalan Pengerusi Liga Muslim Pulau Pinang, Datuk Dr. Shahul Hameed yang juga merupakan Ahli Majlis, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP).

ADUN Komtar, Teh Lai Heng yang juga Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri; dan Presiden Liga Muslim Pulau Pinang, Datuk Haja Najmudeen Kader turut menyertai acara tersebut dalam suasana mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Difahamkan, acara kayuhan amal berkaitan melibatkan penyertaan kira-kira 130 peserta dan akan bermula di sini (hadapan Lebuh Queen), singgah sebentar di Persiaran Karpal Singah sebelum meneruskan perjalanan ke Quensbay dan kembali semula ke Lebuh Queen dengan anggaran perjalanan sejauh 20 kilometer.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : LAW SUUN TING
Video : DARWINA MOHD. DAUD