Kayuhan santai waktu malam dapat sambutan

GEORGE TOWN – Kayuhan DELTA Burung Hantu 2013 yang berlangsung baru-baru ini di Taman Botani (Youth Park) membolehkan kira-kira 120 peserta menikmati kayuhan santai beramai-ramai pada waktu malam di sini.

Program seumpamanya adalah hasil anjuran bersama Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP), Majlis Sukan Pulau Pinang (MSNPP) dan Kelab Lions Tanjung Pulau Pinang.

Pengarah Urusan DELTA Business Solutions Sdn. Bhd. yang merupakan penganjur utama, Choo Eng Hin berkata, program tersebut
telah dijenamakan semula.

“Kayuhan DELTA Burung Hantu 2013 adalah bersifat kekeluargaan iaitu kayuhan santai yang turut melibatkan ibu bapa dan anak-anak sambil menikmati dan mengakses keindahan Taman Botani pada waktu malam.

“Di samping itu, program ini turut membantu meningkatkan kesedaran peserta tentang gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat adalah sesuatu yang bermakna,” ujarnya pada penganjuran Kayuhan DELTA Burung Hantu 2013 di Taman Botani baru-baru ini di sini.

Majlis perasmian program disempurnakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kebun Bunga, Cheah Kah Peng. Turut hadir menemani Ahli Majlis MPPP, Muhammad Sabri Md. Osman.