Permuafakatan kunci komuniti bersih, selesa

Oleh: AHMAD ADIL MUHAMAD

SEBERANG PERAI – Barisan jawatankuasa baru Pasukan LA21 Pangsa Projek Perumahan Rakyat (PPR) Ampangan dekat Ampang Jajar bagi sesi tahun 2014 diseru membantu pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang (PWDC) menjalankan program setempat di sini.

Kenyataan tersebut dinyatakan Setiausaha Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Sr. Rozali Mohamud pada Majlis Pengumuman Ahli Jawatankuasa LA21 Ampangan Sesi 2014-2016 baru-baru ini.

Katanya, permuafakatan antara komuniti PPR dan jawatankuasa pasukan merupakan kunci utama wujudnya sebuah tempat yang bersih, indah dan selesa untuk didiami.

“Aktiviti-aktiviti tidak akan dapat dijalankan dengan jayanya tanpa permuafakatan dan MPSP amat berbangga dengan keharmonian yang ditunjukkan oleh penduduk di sini,” ujar beliau.

Seramai 15 ahli jawatankuasa (AJK) dipilih secara demokratik bagi menganggotai Pasukan LA21 Pangsa Projek Perumahan Rakyat (PPR) Ampangan bagi sesi tahun ini (2014).

Menurut Rozali, jawatankuasa itu diharap dapat menangani beberapa masalah berbangkit di PPR berkenaan.

“AJK yang dilantik haruslah berhubungan erat dengan penduduk dan memberi maklumbalas kepada MPSP agar dapat bersama-sama mengatasi masalah berbangkit,” tegasnya.

Dalam perkembangan berkaitan, Rozali turut mengingatkan semua pihak supaya segera menjelaskan bayaran penyelenggaraan dan pengurusan bulanan berjumlah RM100. “Setiap bulan, MPSP menanggung kos berjumlah RM30,000 demi menyediakan kediaman yang selesa dan kemudahan kepada penduduk di sini,” jelas beliau.