Ke arah transformasi digital, Kerajaan Negeri komited sediakan infrastruktur pintar

Admin

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri kini giat membangunkan pelbagai inisiatif pintar dalam mempersiapkan Pulau Pinang ke arah transformasi digital.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata, pentadbirannya juga komited dalam menyediakan pelbagai infrastruktur bagi meningkatkan kesalinghubungan sekaligus dapat memacu pertumbuhan ekonomi negeri.

Suka atau tidak kecanggihan teknologi telah membawa kepada perubahan cara hidup, cara bekerja serta cara kita berhubung antara satu sama lain.

“Sekiranya kecanggihan teknologi ini dimanfaatkan sebaiknya, maka kehidupan akan menjadi lebih efisien.

KETUA Menteri ketika berucap pada majlis berkaitan pagi ini.

“(Dan) menyedari hakikat ini, Kerajaan Negeri turut tidak mahu ketinggalan dalam memastikan rakyat Pulau Pinang menerima manfaat daripada transformasi digital ini,” ujarnya pada Majlis Perasmian Program Anjakan Paradigma Era Transformasi Digital anjuran Pertubuhan Pembangunan Masyarakat Sejahtera (PPMS) Pulau Pinang dekat Komtar di sini pagi ini.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar merangkap Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Teh Lai Heng; Presiden PPMS, Burhanuddin Abdullah dan Presiden Liga Muslim Pulau Pinang, Datuk Haja Najmudeen Kader serta pimpinan beberapa badan bukan kerajaan negeri.

Mengulas lanjut, Kon Yeow memberitahu bahawa pihaknya juga giat menjalinkan kerjasama dalam menyediakan pelbagai perkhidmatan pintar antaranya dalam memperkenalkan perkhidmatan internet berkelajuan tinggi serta teknologi generasi kelima atau 5G.

“Malah, baru-baru ini juga Kerajaan Negeri bersama-sama pihak swasta memperkenalkan perkhidmatan dompet elektronik atau e-wallet yang turut memberi manfaat kepada golongan peniaga kecil dan rakyat di negeri.

“Usaha ini adalah sejajar dengan Visi Penang2030 ke arah sebuah negeri pintar dan hijau berteraskan keluarga inspirasi negara,” jelasnya.

Kon Yeow dalam pada itu amat mengalu-alukan sebarang usaha dan inisiatif sama ada daripada badan bukan kerajaan, komuniti mahupun pemain industri supaya sama memainkan peranan dalam pembangunan sosial masyarakat agar tidak ketinggalan dalam arus transformasi digital.

“Inisiatif yang dilaksanakan oleh Pertubuhan Pembangunan Masyarakat Sejahtera ini misalnya merupakan pendekatan baik supaya lebih ramai anggota masyarakat diberi pendedahan mengenai era transformasi digital.

“Saya berharap lebih ramai pihak tampil dengan program-program seperti ini dalam menyuntik semangat kepada masyarakat untuk bangkit dan bersedia menghadapi cabaran digitalisasi masa kini,” katanya yang turut menzahirkan penghargaan kepada PPMS Pulau Pinang atas inisiatif menganjurkan program berkaitan.

APLIKASI tempahan dalam talian memudahkan urusan harian tanpa perlu beratur panjang.

Usai berucap, Kon Yeow kemudiannya menyempurnakan pelancaran aplikasi ‘Hussain Pasembur’ yang popular di Padang Kota. Aplikasi tersebut bakal memudahkan tempahan tanpa perlu beratur panjang dan tunggu lama.

Difahamkan, penganjuran Program Anjakan Paradigma Era Transformasi Digital berkaitan adalah untuk memberi pendedahan kepada para peniaga dan usahawan di negeri ini mengenai usaha melahirkan masyarakat tanpa tunai atau ‘cashless society’ pada masa hadapan.

Dua penceramah jemputan, Datuk Sri Mahadi Badrul Zaman dan Fazlu Muhyudin Syed Ibramsa turut meluangkan masa serta berkongsi ilmu perniagaan dalam mengharungi era transformasi digital dalam bidang perniagaan masa kini.

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI 
Gambar : CHAN KOK KUAN 
Video : AHMAD ADIL MUHAMAD