RM9.096 juta peruntukan kepada pemandu teksi dan operator bas sekolah layak sehingga 2019

Admin

GEORGE TOWN – Mereka yang terlibat dalam sektor pelancongan khususnya pemandu teksi di negeri ini berperanan sebagai ‘duta kecil’ kepada Kerajaan Negeri.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa pemandu teksi adalah barisan hadapan yang sentiasa berhubung dengan pelancong dari dalam dan luar negara.

Justeru, beliau menyeru semua pemandu teksi agar dapat menjaga imej dan nama baik Kerajaan Negeri terutamanya ketika membawa pelancong.

“Saya menyeru semua pemandu teksi agar memberikan perkhidmatan terbaik, berilah komitmen sepenuhnya kepada pengguna.

“Bagi pengusaha bas sekolah pula, berilah perkhidmatan yang selesa kepada semua pelajar yang menggunakan perkhidmatan anda, pandulah dengan berhemah dan sentiasa mengutamakan keselamatan,” ucapnya sempena Majlis Pemberian Insentif Perkhidmatan Kepada Pemandu Teksi dan Operator Bas Sekolah di Pulau Pinang hari ini.

Hadir sama, Ketua Seksyen Pengangkutan Bahagian Perancang Ekonomi Negeri (BPEN), Dato’ Lim Hock Seng; Teh Lai Heng (Setiausaha Politik Kepada Ketua Menteri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri, ADUN Komtar); Adun-adun; R.S.N. Rayer (Ahli Parlimen Jelutong); Mohamad Shahimi Hadzri (Pengerusi Gabungan Pemandu Teksi Pulau Pinang) dan Ang Beng Teong (Timbalan Pengerusi Persatuan Bas Sekolah Pulau Pinang).

Seramai 2,571 pemandu teksi dan operator bas sekolah layak menerima insentif sumbangan RM300 setiap seorang membabitkan jumlah keseluruhan peruntukan sebanyak RM771,300.

Berdasarkan senarai dikeluarkan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) jumlah keseluruhan pemandu teksi yang sah dan berdaftar adalah seramai 2,061 orang iaitu 1,428 di bahagian pulau dan Seberang Perai (2,571).

Manakala, bagi pengusaha bas sekolah, seramai 510 pengusaha mempunyai permit yang sah dan melayakkan mereka menerima insentif kali ini dengan 248 operator di bahagian pulau dan Seberang Perai (262).

Sebagai rekod, sehingga tahun 2019, jumlah keseluruhan insentif yang telah disalurkan Kerajaan Negeri kepada pemandu teksi serta operator bas sekolah layak adalah berjumlah RM9.096 juta, dan tahun ini merupakan tahun ke-8 sumbangan disalurkan.

Dalam pada itu, bagi memastikan keselamatan para pemandu dilindungi, Kon Yeow menasihati semua pemandu teksi dan bas sekolah agar segera mencarum di bawah perlindungan PERKESO.

“Perlindungan PERKESO untuk pemandu teksi telah dimulakan sejak Julai 2017, manakala pemandu bas sekolah pula pada Februari 2019.

“Perlindungan ini sangat berguna kerana ia berupaya melindungi pemandu yang sedang bertugas, saya menyeru semua yang masih belum mencarum agar segeralah berbuat demikian untuk kebajikan diri sendiri serta keluarga anda dari segi kebajikan dan kewangan,” seru beliau.

Serentak itu, Kon Yeow turut menyempurnakan majlis pelancaran aplikasi teksi dan kereta sewa Malaysia yang dikenali sebagai TeksiKu.

Pelancaran aplikasi TeksiKu diharap menjadi nadi perkhidmatan teksi di Pulau Pinang khususnya dan Malaysia amnya.

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF
Gambar : NUR AFIQAH ZAINUDI
Video : LAW SUUN TING