Kebajikan B40 terutama pelajar kurang mampu, anak-anak yatim terus diutamakan – Kon Yeow

Admin

BERTAM – Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang akan terus mengutamakan penduduk daripada golongan isi rumah berpendapatan 40 peratus paling rendah (B40) terutama pelajar kurang mampu, orang kurang upaya (OKU) serta anak-anak yatim.

Atas maksudnya itu, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow memberitahu pada malam ini dilangsungkan program penyerahan insentif bantuan set kelengkapan sekolah kepada 320 penerima terpilih dari sekitar kawasan Parlimen Tasek Gelugor dan Kepala Batas di sini.

Menurut beliau, program kebajikan tersebut menelan kos sebanyak RM38,400.

“Telah menjadi dasar Kerajaan Negeri agar kebajikan rakyat senantiasa diutamakan dalam apa jua tumpuan sama ada dalam bantuan persekolahan, sambutan perayaan kaum dan lain-lain program emas termasuk (melibatkan) ibu emas serta anak emas.

“Saya berharap sumbangan (pakaian dan set kelengkapan persekolahan) hari ini dapat menaikkan semangat serta iltizam anak-anak di Taman Bakti ini,” ujarnya dalam Majlis Jamuan Makan Malam dan Sumbangan Pakaian Sekolah di Rumah Kanak-Kanak Taman Bakti Kepala Batas dekat sini pada 16 Disember 2019.

Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar, Phee Boon Poh; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bertam, Khaliq Mehtab Mohd. Ishaq; ADUN Teluk Air Tawar, Mustafa Kamal Ahmad dan ADUN Bayan Lepas, Azrul Mahathir Aziz turut sertai majlis tersebut.

Hadir sama, Pegawai Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Zulkifli Rashid; Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Pulau Pinang, Shaballah Zainal Abidin; Pengarah Penerangan Pulau Pinang, Sabri Said; Pengerusi Lembaga Pelawat Sekolah, Ahmad Shukor Saad dan Pengetua Rumah Kanak-Kanak Taman Bakti Kepala Batas, Norlela Saad.

Dalam perkembangan berkaitan, Kon Yeow memberitahu bahawa bangunan sekolah sedia ada yang telah berusia kira-kira 50 tahun di sini akan dirobohkan, sementara kerja-kerja pembinaan semula kemudahan dengan pembiayaan daripada Kerajaan Persekutuan akan mengambil masa selama dua tahun.

“Jadi, dalam tempoh dua tahun peralihan ini, kanak-kanak, pengetua dan guru-guru perlu dipindahkan ke (Daerah) Seberang Perai Selatan (SPS), saya berharap semua dapat menyesuaikan diri dalam tempoh dua tahun ini,” jelasnya yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Pembangunan Tanah, Pengangkutan dan Komunikasi.

Kon Yeow dalam pada itu turut menyeru semua pemimpin masyarakat serta pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk bersama-sama dengan Kerajaan Negeri menyemarak program kebajikan sebagaimana menjadi salah satu visi utama di bawah wawasan Penang2030.

Sebelum itu, Norlela menyatakan bahawa rumah pelindungan kanak-kanak di Taman Bakti tersebut bukan sahaja dihuni oleh anak-anak yatim, bahkan kanak-kanak yang menjadi mangsa penderaan, dibuang atau diabaikan oleh waris.

“Rumah ini dibina bertujuan untuk memberi jagaan kepada kanak-kanak yang mendapat perintah mahkamah, di bawah Akta Kanak-Kanak 2001, supaya menggalakkan pertumbuhan dan perkembangan mereka dari segi fizikal, emosi serta mental yang sihat dalam suasana kekeluargaan yang harmoni,” ulasnya.

Sehingga kini, beliau memberitahu bahawa seramai 160 kanak-kanak berusia antara 15 hari hingga 12 tahun menghuni Rumah Kanak-Kanak Taman Bakti Kepala Batas.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD