Kebajikan pendidik dan warga sekolah terus diberikan keutamaan

Admin

PADANG LALANG – Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong berkata, aspek pendidikan menjadi antara isu yang sering diberi perhatian serius oleh pucuk pimpinan sama ada di peringkat negeri mahupun persekutuan.

Justeru, katanya, dalam tempoh setahun selepas peralihan tampuk pemerintahan sejak 9 Mei lalu (2018) peruntukan untuk sektor pendidikan bagi sekolah-sekolah di sekitar Bukit Mertajam telah mencecah lebih RM8 juta pada tahun lepas.

Steven Sim Chee Keong menyantuni guru-guru yang hadir pada Majlis Sambutan hari Raya dekat SMK Tinggi Bukit Mertajam, semalam.

“Bagi tahun ini pula sumbangan dari aspek kewangan kepada sekolah-sekolah di Bukit Mertajam untuk projek-projek kecil adalah daripada RM1,000 hingga RM85,000 mengikut keperluan semasa.

“Sekolah Menengah Agama (SMA) Al-ahmadiah Al-ijtimaiah merupakan penerima sumbangan tertinggi pada tahun ini iaitu sebanyak RM85,000.

“Selain pembangunan pendidikan, kebajikan pelajar, pendidik dan warga sekolah juga akan diberikan keutamaan,” ujarnya semasa berucap pada Majlis Hai Raya Aidilfitri Bersama Guru-Guru di Dewan Sekolah Menengah Tinggi Bukit Mertajam, semalam.

Hadir sama, Ahli Majlis bagi Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) Bernard Cheen Gooi Hoon; Penolong Pegawai Pendidikan Daerah Seberang Perai Tengah, Mohd. Fuad Mohd. Khir serta barisan para guru.

Mengulas lanjut, Chee Keong menjelaskan bahawa penganjuran program berkenaan sebagai menghargai jasa guru-guru dari 33 buah sekolah di sekitar Bukit Mertajam sempena Hari Raya Aidilfitri.

“Saya harap agar kita dapat aturkan pertemuan antara pejabat wakil rakyat di Bukit Mertajam dan juga para pendidik pada masa akan datang bagi mengeratkan lagi hubungan silaturahim antara sesama kita,” ujarnya lagi.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD