Tunggu keputusan perunding dilantik untuk penyelesaian jangka panjang

Admin

TANJUNG BUNGAH – Kerja-kerja tanah di tapak pembinaan tembok penahan sebuah resort peranginan dekat Jalan Batu Feringghi dihentikan sepenuhnya sementara menunggu siasatan lanjut oleh pihak perunding.

Perkara tersebut dinyatakan oleh Pengarah Kejuruteraan bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) Ir. A. Rajendran pada sidang media bersama Exco Kerja Raya, Utiliti dan Tebatan Banjir, Zairil Khir Johari, semalam.

“Semua-kerja-kerja (tanah) dihentikan sehingga kita mendapat perakuan daripada pihak perunding.

“Apa-apa keputusan yang diambil selepas ini kita (MBPP) perlu pastikan keselamatan orang awam tidak tergugat,” jelasnya lagi.

Tambah Rajendran, Di bawah Akta Jalan, Parit Dan Bangunan, Seksyen 70A, pemilik tanah yang didakwa melakukan kerja-kerja tanpa kebenaran boleh dikenakan tindakan penjara selama lima tahun atau denda sebanyak RM50,000 sekiranya disabitkan kesalahan.

“Kita telah keluarkan notis di bawah akta tersebut di mana kita akan menyediakan kertas siasatan dan dibawa kepada Pegawai Undang-undang untuk tindakan.

“Sementara itu, MBPP juga dapatkan pandangan perunding pakar dari Institusi Jurutera Malaysia, pemilik tanah juga melantik perunding pakar untuk mendapatkan nasihat dan kita tunggu kajian terlebih dahulu sebelum tindakan jangka masa Panjang diambil,” katanya lagi.

Hadir sama, Pegawai Daerah dan Tanah bagi Daerah Timur Laut (DTL), Rosli Halim.

Dalam pada itu, Zairil merakamkan ucapan terima kasih kepada pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) Cawangan Kejuruteraan Cerun yang segera melakukan kerja-kerja mitigasi di kawasan berkenaan.

“Kerja secara keseluruhannya memang tak siap lagi, kerja cerucuk kepingan besi ini cukup untuk membuka semula jalan ini.

“Kerja-kerja ini hanya untuk jangka masa pendek dan bagi jangka masa panjang pula perlu diselesaikan oleh pemilik tanah kerana tanggungjawab JKR hanya menjaga keselamatan jalan,” ujar beliau.

Difahamkan kerja-kerja penstabilan jalan selesai pada 10:30 malam 29 Jun lalu.

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI