Kebakaran di tapak pelupusan Pulau Burung berjaya dipadam, kata Ketua Menteri

Admin

BAYAN LEPAS – Kebakaran di tapak pelupusan sampah Pulau Burung yang dilaporkan berlaku sekali lagi pada awal malam tadi sudah berjaya dipadam sepenuhnya.

Ketua Menteri, Y.A.B. berkata bahawa pihak pengendali tapak pelupusan Pulau Burung dan agensi-agensi berkaitan kini sedang melakukan pemantauan rapi di kawasan berkenaan bagi memastikan kejadian sama tidak berulang.

“Ekoran daripada kebakaran besar yang berlaku pada Januari lalu, maka pengusaha atau pengendali tapak pelupusan sampah Pulau Burung serta agensi-agensi berkaitan sentiasa berada dalam keadaan berwaspada.

“Tambahan pula, proses menimbus tanah merah di atas tapak pelupusan sampah yang terbakar juga masih lagi berjalan ketika ini sekali gus membantu menangani kebakaran yang berlaku malam tadi dengan cepat.

“Syukurlah kebakaran tersebut berjaya dipadam,” katanya kepada pemberita pada sidang media selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri anjuran Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) di sini sebentar tadi.

Mengulas mengenai tindakan terhadap pengendali (operator) tapak pelupusan sampah Pulau Burung, Kon Yeow berkata bahawa perkara tersebut masih berada pada peringkat rundingan.

“Kerajaan Negeri telah gerakkan tindakan terhadap operator dan kini masih pada peringkat rundingan berkaitan terma-terma agar penamatan (kontrak) dipersetujui oleh kedua-dua pihak.

“Malah, tender untuk melantik pengendali interim (sementara) juga sedang dilakukan,” jelasnya lanjut.

Justeru, beliau menyatakan bahawa satu lagi Request for Proposal (RFP) akan dipanggil untuk melantik pengendali baharu dengan penggunaan teknologi yang lebih canggih pada masa akan datang.

“Ini merupakan perancangan jangka panjang setelah tindakan atau keputusan menamatkan perkhidmatan operator sedia ada dimuktamatkan sekiranya didapati mereka tidak mampu lagi menguruskan tapak pelupusan sampah Pulau Burung dengan baik atau tidak mengikut perjanjian dan tempoh masa ditetapkan,” tegasnya.

Terdahulu, media melaporkan bahawa tapak pelupusan sampah Pulau Burung terbakar sekali lagi pada malam tadi.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang menerima panggilan berhubung kebakaran itu pada jam 10.34 malam dan dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Nibong Tebal dan Sungai Bakap telah dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, pasukan bomba mendapati bahawa kebakaran adalah melibatkan tapak pelupusan sampah dengan anggaran keluasan kebakaran 200 x 200 kaki persegi.

“Tindakan awal anggota adalah menjalankan pemadaman dan pengawalan dengan membuat ‘fire break’ menggunakan bantuan dari jengkaut bagi mengelakkan kemerebakan yang lebih luas,” kata JPBM Pulau Pinang dalam satu kenyataan hari ini.

Oleh : SUNATI YUSOFF
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD
Video : LAW SUUN TING