GEORGE TOWN – Warisan budaya Pulau Pinang sekali lagi menjadi perhatian dunia apabila kebaya dan roti canai yang merupakan antara menu sarapan pagi rutin rakyat Malaysia tampil memukau sempena Minggu Pulau Pinang di Ekspo Dunia Osaka 2025.

EXCO Pelancongan dan Ekonomi Kreatif, Wong Hon Wai berkata, pada Minggu Pulau Pinang yang berlangsung di Pavilion Malaysia dekat Osaka, Jepun bukan sahaja mengetengahkan keunikan seni dan budaya, malah membuka peluang besar dari segi kerjasama ekonomi antarabangsa.
“Selain kejayaan menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan syarikat logistik antarabangsa, Pulau Pinang turut persembahkan warisan budaya yang berjaya memikat hati pengunjung.
Setiap petang, pentas Pavilion Malaysia diserikan dengan pertunjukan fesyen kebaya dan batik yang menjadi antara segmen paling dinantikan pengunjung.
“Malah, suasana di hadapan pavilion sering dipenuhi penonton lebih awal sebelum pertunjukan bermula jelas membuktikan bahawa pesona kebaya mampu menembusi sempadan budaya,” ujarnya menerusi kenyataan media semalam.

Menurut Hon Wai, pengiktirafan kebaya sebagai Warisan Budaya Tidak Ketara UNESCO pada Disember 2024 menjadi pemangkin untuk Pulau Pinang terus mengangkat martabat busana tersebut di pentas global.
Selain kebaya, jelas Hon Wai lagi, sarapan pagi Malaysia turut mencuri perhatian.
Demonstrasi roti canai terbang oleh dua chef muda dari Penaga mendapat sorakan serta tepukan gemuruh penonton.
“Nasi lemak dan pelbagai juadah tradisional lain juga menjadi kegemaran ramai yang mana setiap pagi, barisan panjang pengunjung menunggu untuk mencuba sendiri keistimewaan sarapan Malaysia ini,” jelasnya.

Mengulas lanjut, Hon Wai menyatakan keyakinan bahawa sambutan luar biasa ini akan memberi kesan positif kepada sektor pelancongan Pulau Pinang.
“Pengunjung bukan sahaja pulang dengan kenangan tentang keindahan kebaya dan kelazatan makanan, tetapi juga membawa persepsi positif terhadap negeri kita, inilah yang akan mendorong mereka datang sendiri ke Pulau Pinang pada masa hadapan,” katanya.