SEORANG ibu tunggal berusia 44 tahun, N. CHITRA, membuktikan bahawa kecekalan dan kesungguhan mampu mengubah kehidupan apabila berjaya mengembangkan perniagaan daripada sebuah khemah kecil di tepi jalan kepada sebuah trak makanan yang kini menjadi tumpuan pelanggan di Taman Bagan.
“Dulu, saya berniaga di bawah khemah kecil tepi jalan memang ada ‘masalah’, saya mendapatkan lesen termasuk trak makanan untuk terus berniaga di sini (Taman Bagan),” ujar beliau ketika mengimbau kembali detik awal penghijrahan perniagaannya yang bermula sejak 11 tahun lalu demi menyara keluarga selepas suaminya jatuh sakit.

Dalam sesi temu bual bersama wartawan Buletin Mutiara, ZAINULFAQAR YAACOB dan jurugambar, MOHAMAD IQBAL HAMDAN, Chitra berkata bahawa fasa awal perniagaannya menuntut pengorbanan yang besar apabila beliau terpaksa membahagikan masa antara tugas di kilang dan menguruskan jualan di tepi jalan. Namun, beliau akhirnya mengambil keputusan nekad untuk berhenti kerja bagi memberi tumpuan sepenuhnya kepada dunia perniagaan.
Meskipun pemergian suaminya empat tahun lalu memberi tamparan yang hebat, Chitra tetap tabah meneruskan kehidupan demi masa depan anak tunggalnya yang kini berusia 21 tahun dan telah berjaya menamatkan pengajian peringkat universiti.
Bercerita lanjut, beliau berkata, tiada rahsia istimewa untuk mengekalkan sokongan pelanggan setia di trak makanan yang beroperasi setiap hari dari pukul 11.30 pagi hingga 10 malam.
Menurut beliau, nasi pandan bersama ayam goreng berempah kekal menjadi menu utama yang paling mendapat sambutan, selain merupakan resipi warisan mendiang ibunya.
Selain itu, beliau turut menawarkan pelbagai menu lain yang menjadi kegemaran pelanggan, antaranya chittu pani puri, cendol, ais kacang dan burger ayam.
“Dalam masa terdekat, ada satu lagi menu baharu iaitu ‘burger vegi’ kerana ada permintaan daripada pelanggan,” jelasnya dalam nada sederhana.
Di sebalik kegigihan memenuhi cita rasa pelanggan, Chitra mengakui cabaran sebagai peniaga makanan kecil di tepi jalan sentiasa ada.
“Pascapandemik COVID-19 memang ada penyusutan hasil jualan kasar harian (yang mana) secara purata setiap hari saya dapat sekitar RM300 sahaja.
“Kalau sebelum pandemik COVID-19, saya berniaga enam hari seminggu, kini saya terpaksa berniaga setiap hari sehingga 10.00 malam bagi meningkatkan hasil jualan kasar, baru berbaloi termasuk membayar upah seorang pekerja di sini,” jelasnya sambil memaklumkan bahawa semua makanan yang dijual adalah ‘mesra Muslim’.
Demi memastikan kelangsungan ekonomi serta membuka peluang pekerjaan kepada komuniti setempat, Chitra memberitahu bahawa beliau lebih memilih untuk berdikari dan mengembangkan perniagaannya secara berperingkat.

Mengakhiri perbualan, wanita cekal itu berkongsi impiannya untuk terus mengembangkan perniagaan dengan memperkenalkan konsep trak minuman teh pada masa hadapan.
“Walaupun ada banyak kekangan, saya memang ada memasang impian untuk mengembangkan perniagaan di atas trak makanan ini dengan turut menyajikan minuman teh yang pelbagai rasa, seperti teh masala.
“Di luar sana, kepada peniaga khususnya ibu tunggal yang masih bergelut hidup bagi memperbaiki kedudukan kewangan keluarga, kita tidak perlu putus asa dan mesti terus cekal setiap hari dengan membuka khemah niaga walaupun semasa hujan,” titip beliau sebagai pesanan buat seluruh ibu tunggal agar sentiasa tabah dan kental mendepani ujian hidup.