Seberang Perai dipilih tuan rumah program antarabangsa tangani pembaziran makanan

Admin
img 20260629 wa0019

SEBERANG JAYA – Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) terus mengukuhkan kedudukannya sebagai peneraju sistem makanan bandar mampan apabila dipilih menjadi tuan rumah Program Pembelajaran Rakan-ke-Rakan melalui Kerjasama Selatan-Selatan dan Kerjasama Tiga Hala: Memperkasa Usaha Pengurangan Kehilangan dan Pembaziran Makanan di Peringkat Bandar Raya di Asia dan Pasifik.

Kira-kira 50 wakil dari tujuh negara berkumpul bagi membincangkan langkah mempergiat usaha bandar-bandar di rantau Asia Pasifik dalam menangani isu pembaziran makanan secara lebih mampan dan berkesan.

Ahli Majlis bagi MBSP, Rachel Teh Chuann Yien berkata, pemilihan Seberang Perai sebagai lokasi penganjuran program tersebut merupakan satu penghormatan besar kepada bandar raya itu yang telah menunjukkan komitmen berterusan dalam pembangunan sistem makanan mampan.

Menurut beliau, program tersebut dibangunkan menerusi kerjasama antara Pertubuhan Makanan dan Pertanian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (FAO) dan Milan Urban Food Policy Pact (MUFPP) melalui Program International Urban and Regional Cooperation (IURC) Kesatuan Eropah.

“Perhimpunan ini bukan sekadar pelancaran sebuah program, malah menjadi bukti kepada apa yang mampu dicapai apabila bandar, kerajaan dan organisasi antarabangsa berganding bahu demi matlamat yang sama.

“Kehilangan dan pembaziran makanan merupakan antara cabaran utama dunia hari ini yang bukan sahaja melibatkan makanan yang dibuang tetapi turut berkait dengan keselamatan makanan, daya tahan iklim, kemampanan ekonomi dan keterangkuman sosial,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran program berkenaan yang berlangsung di Dewan Kenangan, Menara Bandaraya MBSP dekat sini sebentar tadi.

Hadir sama, barisan Ahli Majlis bagi MBSP; Koordinator Program Kanan, Bahagian Kerjasama Selatan-Selatan dan Kerjasama Tiga Hala FAO, Nafis Khan; Pengarah MUFPP, Filippo Gavazzeni; Ketua Bahagian Makanan, Pertanian dan Perhutanan di Sekretariat ASEAN, Dr. Pham Quang Minh dan Pengurus Negara (Malaysia dan Singapura), IURC Asia & Australasia, Boyd D. Jouman.

Rachel turut menegaskan bahawa bandar-bandar memainkan peranan penting sebagai pusat penggunaan makanan, sistem pengagihan semula dan tadbir urus tempatan yang mampu memacu perubahan ke arah sistem makanan yang lebih mampan.

Beliau berkata, Seberang Perai berbangga menjadi bandar pertama di Malaysia yang menandatangani Milan Urban Food Policy Pact, sekali gus menyertai rangkaian global yang melibatkan lebih 340 bandar di seluruh dunia yang komited membangunkan sistem makanan bandar yang mampan, berdaya tahan, inklusif dan saksama.

Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan bahawa Seberang Perai baru-baru ini menerima pengiktirafan daripada Pengarah MUFPP, apabila diberikan tanggungjawab untuk menerajui usaha membawa sekurang-kurangnya enam lagi bandar di negara ini menyertai rangkaian tersebut menjelang penghujung tahun 2026.

“Ini merupakan satu tanggungjawab besar yang kami terima dengan penuh rendah hati dan tekad.

“Pengiktirafan ini juga mencerminkan keyakinan yang semakin meningkat daripada rakan antarabangsa terhadap keupayaan bandar-bandar di Malaysia untuk menyumbang secara bermakna kepada agenda sistem makanan mampan global,” katanya.

img 20260629 wa0021img 20260629 wa0018

Tambah beliau, MBSP terus menterjemahkan aspirasi global kepada tindakan tempatan melalui pelbagai inisiatif seperti pengagihan semula makanan, pendidikan komuniti, ekonomi kitaran dan usaha menukar sisa bio kepada sumber yang bernilai.

Usaha berkenaan, jelasnya, selari dengan visi Seberang Perai untuk menjadi Bandar Masa Hadapan (City of Tomorrow) yang lebih mampan, berdaya tahan dan berteraskan rakyat.

Beliau turut menekankan bahawa tiada sebuah bandar yang memiliki semua jawapan dalam menangani isu kehilangan dan pembaziran makanan, namun kerjasama rakan sebaya, kerjasama Selatan-Selatan dan kerjasama tiga hala mampu menghasilkan penyelesaian praktikal yang boleh diperluaskan di bandar-bandar lain.

Sehubungan itu, Rachel menggalakkan semua peserta memanfaatkan platform tersebut untuk berkongsi pengalaman, bertukar idea dan membina jaringan kerjasama yang berkekalan.

“Nilai sebenar program ini bukan sahaja terletak pada perbincangan yang diadakan tetapi juga pada tindakan yang akan dilaksanakan apabila peserta kembali ke bandar masing-masing,” katanya.

Beliau berharap program berkenaan akan menjadi pemangkin kepada kerjasama yang lebih kukuh, tindakan yang lebih berani serta penyelesaian yang lebih inovatif dalam usaha mengurangkan kehilangan dan pembaziran makanan, memperkukuh daya tahan bandar dan mentransformasikan sistem agromakanan di rantau Asia dan Pasifik.

Difahamkan, selain Seberang Perai, Sepang dan Melaka turut tersenarai sebagai bandar ahli Milan Urban Food Policy Pact (MUFPP) di Malaysia.

Sementara itu, Nafis menegaskan bahawa platform tersebut membolehkan bandar-bandar bertukar pengetahuan, teknologi dan pengalaman, seterusnya menyesuaikan pelaksanaannya mengikut konteks tempatan bagi mengurangkan pembaziran makanan secara lebih berkesan.

Menurut beliau, perubahan gaya hidup dan corak penggunaan makanan yang semakin dinamik telah memburukkan lagi isu pembaziran makanan, selain turut dipengaruhi cabaran seperti perubahan iklim dan tekanan terhadap sumber semula jadi.

“Dalam keadaan tersebut, bandar-bandar kini semakin memainkan peranan penting sebagai pemacu kepada penyelesaian yang inovatif,” katanya.

Dalam pada itu, Gavazzeni menjelaskan bahawa inisiatif tersebut kini memasuki fasa pertukaran secara bersemuka selepas melalui beberapa bulan persediaan yang melibatkan pengumpulan data dan analisis kes.

Menurut beliau, sesi berkenaan bertujuan membincangkan pendekatan yang lebih berkesan dalam membangunkan dasar makanan bandar bagi mengurangkan pembaziran makanan.

Beliau turut menekankan bahawa kejayaan usaha tersebut memerlukan kerjasama pelbagai pihak termasuk kerajaan pusat, organisasi antarabangsa, institusi pengajian tinggi, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta pasar borong bagi memastikan impak yang lebih menyeluruh dan mampan.

Quang Minh pula bahawa negara anggota ASEAN bersama kerajaan tempatan sedang giat melaksanakan pelbagai inisiatif termasuk kitar semula makanan, ekonomi kitaran, pendigitalan dan pendidikan awam.

Namun katanya, usaha tersebut masih memerlukan pengukuhan dari segi dasar dan mekanisme kerjasama serantau.

Beliau turut menyuarakan harapan agar kerjasama dapat diperkukuh dalam empat bidang utama iaitu perkongsian pengetahuan serantau, pembangunan kapasiti, pertukaran dasar dan pelaksanaan projek perintis yang boleh dicontohi, selain mempertingkat sistem pengumpulan serta pemantauan data.

Boyd yang turut berucap menegaskan bahawa kekuatan pembelajaran rakan sebaya terletak pada keupayaan menterjemahkan perkongsian pengalaman kepada tindakan praktikal melalui kerjasama antara bandar.

Beliau berkata, pelbagai amalan inovatif telah dilaksanakan oleh bandar-bandar dalam usaha mengurangkan pembaziran makanan, namun kejayaan sebenar bergantung kepada keupayaan menterjemahkan pengalaman tersebut kepada dasar dan projek yang boleh dicontohi serta diperluaskan.

Oleh: SUNARTI YUSOFF
Gambar: DARIWINA MOHD. DAUD