Kediaman The Park @ Mak Mandin jangka siap 2019, umum KM

BAGAN DALAM – Projek kemajuan empat blok pangsapuri Rumah Mampu Milik (RMM) The Park @ Mak Mandin yang terdiri daripada 780 unit kediaman dijangka siap untuk diduduki pembeli pada hujung tahun 2019.

Mengulas lanjut, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang akan terus mencari inisiatif mencukupkan bilangan unit RMM, khususnya rumah Kos Rendah (KR) dan Kos Sederhana Rendah (KSR) untuk rakyat yang benar-benar memerlukan unit kediaman.

“21,535 unit rumah kos rendah (KR) dan kos sederhana rendah (KSR) yang telah dibina (sejak tahun 2008) adalah empat kali ganda berbanding keseluruhan 5,154 unit kediaman yang dibina dalam tempoh sama selama tujuh tahun sebelum ini (era Barisan Nasional, BN), apabila kita mengambil alih Kerajaan Negeri Pulau Pinang,” jelasnya yang juga Ahli Parlimen Bagan pada Majlis Pelancaraan RMM The Park @ Mak Mandin di sini 7 Oktober lalu.

Dalam perkembangan lain, Guan Eng turut meminta semua acara pelancaran projek RMM tidak terlalu protokol hatta mengakibatkan rakyat, khususnya para pembeli unit kediaman terpaksa menunggu lama bagi proses pemilihan
dan cabutan berwajib.

Bercakap di pentas sama, Exco Perancangan Bandar & Desa dan  Perumahan, Jagdeep Singh Deo memberitahu, sejumlah 36,759 unit kediaman RMM Mengikut Garis Panduan Kerajaan Negeri telahpun diluluskan untuk dimajukan sektor swasta.

“ Kita (Kerajaan Negeri) bekerjasama membina rumah mampu milik (RMM) dengan pihak swasta kerana Kerajaan Pusat berjanji dan terus berjanji, tetapi sehingga kini masih tiada projek PR1MA (Perumahan Rakyat 1Malaysia) walau satu cerucuk pun ditanam di Pulau Pinang,” tegasnya.

Guan Eng dalam sidang media selepas itu turut menjelaskan bahawa penduduk asal ‘rumah hijau’ di sini telahpun ditempatkan semula di Ampang Jajar dengan ditawarkan ‘rumah ganti rumah’ secara percuma sebelum ini, serta turut diberikan keutamaan membeli unit kediaman RMM The Park @ Mak Mandin pelbagai kategori sehingga harga maksimum RM257,000.

Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P. Ramasamy; Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Utiliti, Lim Hock Seng yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Jermal; Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar merangkap ADUN Sungai Puyu, Phee Boon Poh dan ADUN Bagan Dalam, A. Tanasekharan turut sertai majlis tersebut.