Program Penanaman Pokok Ameniti Terbanyak Dalam Tempoh 24 jam, jom!

Teks & Gambar : WATAWA NATAF ZULKIFLI

KEBUN BUNGA – Datuk Bandar bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP),  Dato’ Maimunah Mohd. Sharif mengajak komuniti di sini menyertai Program Penanaman Pokok Ameniti Terbanyak Dalam Tempoh 24 jam yang bakal berlangsung pada 11 November ini.

Program tersebut dijangka bermula dari jam 8 pagi pada tarikh tersebut dan berakhir pada keesokan harinya (12 November 2017).

Menurut Maimunah, ia akan melibatkan keseluruhan agensi kerajaan, institusi swasta, pusat pengajian tinggi, persatuan penduduk dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

“Penyertaan program ini adalah terbuka kepada seluruh rakyat negeri ini sebagai suatu usaha bersama-sama MBPP mencapai hasrat Kerajaan Negeri dalam menjadikan Pulau Pinang sebagai sebuah bandar raya di dalam taman atau taman dalam bandar raya.

“Setakat hari ini, MBPP bersama-sama pihak-pihak pemaju telah menanam sebanyak 33,147 pohon pokok di seluruh pulau,” ucapnya pada Majlis Perasmian Komuniti Bersih & Hijau Kejiranan Indah Kawasan Jesselton, Jalan Utama di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Setiausaha Bandaraya bagi MBPP, Ar. Yew Tung Seang, Ahli-ahli Majlis bagi MBPP, Ketua-ketua Jabatan MBPP dan Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Jesselton, Datuk Yap Ching Chau.

Serentak itu, Maimunah memaklumkan bahawa MBPP akan terus mempergiatkan program Local Action 21 (LA21) dan berkolaborasi dengan komuniti.

“Usaha ini adalah sangat penting bagi MBPP mencapai kadar kitar semula sebanyak 35 peratus bagi tahun 2017 dan 40 peratus (2018).

“MBPP tidak mampu lakukannya sendiri, ianya perlu melibatkan masyarakat secara menyeluruh dan keberkesanan ini dapat dilihat ketika saya (sebagai Yang di-Pertua) di Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP)… pendekatan serupa berjaya menjadikan kadar kitar semula di Seberang Perai sebanyak 46 peratus,” seru beliau.

Pada program tersebut, Maimunah turut merasmikan papan tanda Komuniti Bersih & Hijau, ‘Kejiranan Indah’ serta menanam tiga pohon pokok teduhan di kawasan sekitar.