Kehebatan Chong Wei, Nicol diikhtiraf negeri

GEORGE TOWN – Ratu Skuasy Negara, Datuk Nicol David dan Pemenang Pingat Perak Sukan Olimpik 2012 London bagi acara badminton, Datuk Lee Chong Wei sekali lagi diumumkan sebagai penerima anugerah Olahragawati dan Olahragawan Negeri 2011 di sini baru-baru ini.

Dengan pengiktirafan tersebut, kedua-dua jagoan negara berkenaan membawa pulang wang tunai RM3,000, trofi dan sijil penghargaan.

Chong Wei sebelum ini pernah merangkul gelaran Olahragawan Negeri pada tahun 2005, 2007, 2008, 2009 dan 2010 manakala, Nicol, 1997, 1998, 1999, 2000, 2001, 2003, 2008, 2009 dan 2010.

Dalam pada itu, atas kecemerlangan yang dipamerkan dalam pertandingan antarabangsa, Nicol turut diumumkan sebagai penerima Anugerah Khas Piala Tuan Yang Terutama.

ABDUL Rahman Abbas (tiga dari kanan) menyerahkan trofi kepada bapa Nicol David yang mewakili beliau di Malam Anugerah Sukan Negeri Pulau Pinang 2011 di sini baru-baru ini.
ABDUL Rahman Abbas (tiga dari kanan) menyerahkan trofi kepada bapa Nicol David
yang mewakili beliau di Malam Anugerah Sukan Negeri Pulau Pinang 2011 di sini
baru-baru ini.

Exco Belia dan Sukan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti, Lydia Ong Kok Fooi merakamkan ucapan terima kasih kepada semua atlit yang selama ini bertungkus-lumus menaikkan nama Pulau Pinang dalam bidang sukan.

“Pencapaian sukan bagi negeri Pulau Pinang dalam empat tahun kebelakangan ini dilihat cukup membanggakan dengan peningkatan prestasi terutamanya pada aspek pungutan pingat dalam kejohanan Sukan Malaysia (SUKMA).

“Pencapaian terbaru SUKMA Pahang tahun ini menyaksikan kejayaan kontinjen Pulau Pinang melepasi sasaran 30 pingat emas sebagaimana disasarkan Majlis Sukan Negeri,’’ katanya dalam ucaptama Malam Anugerah Sukan Negeri Pulau Pinang 2011di sini baru-baru ini.

Turut hadir, Tuan Yang Terutama Negeri, Tun Abdul Rahman Abbas, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Farizan Darus dan Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Mokhtar Mohd. Jait.

Bagi anugerah-anugerah lain, Jurulatih Terbaik dimenangi oleh Aaron Soyza bagi acara skuasy; Olahragawan Harapan, Lim Chee Wei (karate-do), Olahragawati Harapan, Mah Till Da (renang berirama), Anugerah Pasukan Terbaik, Pasukan Karate Lelaki dan Wanita dan Anugerah Atlit Paralimpik, Muhamad Suhaili Ab. Hamid (tenpin boling).

Lydia menambah, Pulau Pinang dari dahulu sememangnya banyak melahirkan jagoan sukan seperti Datuk Eddy Chong, Ong Ewe Hock, Ong Ewe Chye dan Lee Chong Wei (badminton), Zaiton Othman, Rabia Abdul Salam, Saik Oik Cum dan Angamah Vengadasalam (olahraga), Low Wee Wern, Nicol David, (skuasy), Jeffrey Ong (renang), Shukor Salleh (bola sepak) dan ramai lagi,’’ ujar beliau.