Kejayaan GRB semua main peranan penting

Admin

Oleh: NORSHAHIDA YUSOFF


GEORGE TOWN – Kesaksamaan gender dan keadilan sosial adalah penting dan teras bagi membina sebuah bandar yang moden, progresif dan antarabangsa, kata Pengerusi Jawatankuasa Persidangan Bajet Responsif Gender (GRB), Chow Kon Yeow baru-baru ini di sini sempena penganjuran Persidangan GRB baru-baru ini.

Bertemakan ‘Mengubah Institusi, Memperkasakan Komuniti’, persidangan GRB buat julung kalinya adalah anjuran bersama Kerajaan Negeri melalui Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang (PWDC) dengan dua pihak berkuasa tempatan (PBT) iaitu, Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) serta Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) dengan misi untuk memperkasakan GRB di semua peringkat negeri.

Kon Yeow yang juga Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir berkata, Kerajaan Negeri bersama-sama MPPP dan MPSP menzahirkan kesungguhan projek GRB melalui peruntukan dana kepada PWDC untuk tujuan berkenaan.

“Mereka (PWDC, MPPP dan MPSP) telah berjaya mencatatkan kejayaan dalam pelbagai bidang terutamanya penganjuran program-program melibatkan penyertaan masyarakat seperti projek perintis di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Jalan Sungai dan PPR Ampangan di Seberang Perai.

“PPR ini dimiliki dan diuruskan PBT. Walaupun ini merupakan projek perintis, kita masih ibarat kanak-kanak baru yang mula bertatih.

“Akan tetapi, terdapat beberapa pengalaman yang boleh dikongsikan bersama di dalam persidangan ini,” ujarnya pada Persidangan GRB baru-baru ini di sini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P. Ramasamy, Exco Belia & Sukan, Pembangunan Wanita, Keluarga & Komuniti, Chong Eng, Yang di-Pertua (YDP) MPPP, Datuk Ar. Patahiyah Ismail, YDP MPSP, Maimunah Mohd. Sharif dan Pengarah Serantau Bangsa-bangsa Bersatu Wanita (UN Women), Roberta Clark.

Persidangan dua hari tersebut turut disertai penceramah dan peserta dari Jerman, Portugal, Austria, Korea, Indonesia, India, Nepal dan Filipina.

Tambah Kon Yeow, penganjuran seumpamanya membolehkan perkongsian pengalaman dari negara-negara yang telah berjaya menembusi penginstitusian jantina di semua peringkat kerajaan tempatan, negeri dan persekutuan.

“Untuk menikmati kejayaan dalam GRB, semua perlu memainkan kepentingan masing-masing.

“Mesti komited dan mengambil bahagian sepenuhnya.

“Institusi, sama ada di dalam Majlis, Kerajaan Negeri mahupun masyarakat tempatan perlu bekerjasama bersama PWDC, MPPP dan MPSP bagi menjadikan GRB berjaya di Pulau Pinang,” ujarnya.