Gotong-royong basmi aedes

Admin

Oleh: AINUL WARDAH SOHILLI

TANJUNG BUNGAH – Seramai 100 penduduk Taman Hillview menyertai Program Gotong-royong dalam usaha membendung wabak demam denggi di Sungai Kelian di sini baru-baru ini.

Ahli Dewan Undangan Negerinya (ADUN), Teh Yee Cheu ketika ditemui berkata, program dianjurkan Persatuan Penduduk Taman Hillview merupakan program bulanan yang diadakan di sini.

“Gotong-royong di sini bukanlah bermusim, tetapi kita adakan setiap bulan dalam memastikan wabak demam denggi dibendung sepenuhnya,” katanya yang turut menyeru penyertaan semua pihak dalam program kemasyarakatan sebegini di sini baru-baru ini.

Aktiviti gotong-royong tersebut turut mendapat kerjasama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) Taman Hillview dan Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP).

Tanjung Bungah turut tersenarai sebagai kawasan cenderung wabak denggi, oleh demikian, tambah Yee Cheu, beliau amat menggalakkan semua JKKK untuk menjadikan aktiviti gotong-royong sebagai aktiviti bulanan.