Kejohanan Badminton Tertutup Seberang Jaya berjaya tarik penyertaan golongan wanita

SEBERANG JAYA – Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya dengan kerjasama VAMPO Kelab Badminton menganjurkan Kejohanan Badminton Tertutup buat kali kedua hari ini.

ADUNnya, Dr. Afif Bahardin berkata, penganjuran kali ini memperlihatkan perkembangan yang baik apabila turut disertai oleh golongan wanita.

“Kita (Pusat Khidmat ADUN Seberang Jaya) memerlukan keseimbangan antara lelaki dan juga wanita dalam aktiviti kesukanan.

“Program riadah seperti ini merupakan sebahagian daripada aktiviti yang mampu merapatkan hubungan antara komuniti di kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Seberang Jaya,” ujarnya semasa merasmikan program tersebut di Pusat Sukan Sunway, Seberang Jaya.

Difahamkan, seramai 52 peserta daripada 13 pasukan mengambil bahagian yang terdiri daripada 13 orang wanita dan 49 orang lelaki.

Sementara itu, Dr. Mohd. Ismail Isa, 36 ketika ditemui Buletin Mutiara berkata, program seumpamanya wajar dianjurkan kerana memberi peluang kepada pemain-pemain amatur untuk bermain bersama-sama serta dapat mencungkil bakat terpendam.

“Berdasarkan ucapan YB Dr. Afif, nampaknya memang sukar untuk menarik minat wanita dalam menyertai aktiviti kesukanan, namun kejohanan badminton kali ini berjaya melibatkan kaum wanita dalam aktiviti kesukanan.

“Kami berharap agar sukan sebegini dapat diteruskan dua atau tiga kali dalam setahun serta melibatkan agensi luar dalam meningkatkan mutu permainan dan kolaborasi antara para pemain,” ujarnya.

Teks dan Gambar: SITI HUMAIRA MOHAMED YASIN