Kejohanan bola sepak bertepatan inisiatif ❤️PENANG, kukuhkan ikatan silaturahim

Admin

GEORGE TOWN – Penganjuran Kejohanan Piala Bola Sepak Integrasi Ketua Menteri Pulau Pinang adalah bertepatan dengan inisiatif ❤️PENANG yang secara tidak langsung dapat menyemarakkan semangat serta menguatkan ikatan silaturahim antara penjawat-penjawat awam.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berharap pihak penganjur iaitu Persatuan Bola Sepak Bandaraya Georgetown Daerah Timur Laut (DTL) Pulau Pinang dapat meluaskan lagi skop pertandingan dengan melibatkan lebih banyak Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) serta keempat-empat Parlimen di daerah Timur Laut.

“Ini adalah demi melahirkan masyarakat yang sihat dan cerdas serta bersama-sama memajukan sukan untuk negeri Pulau Pinang.

“Dengan ini, setinggi-tinggi tahniah dan syabas diucapkan kepada seluruh ahli jawatankuasa persatuan atas komitmen serta dedikasi dalam menjayakan kejohanan ini,’’ ujarnya ketika menyempurnakan Majlis Penyampaian Hadiah Kejohanan Piala Bola Sepak Integrasi Ketua Menteri Pulau Pinang di sini sebentar tadi.

KON Yeow (tengah) bersama-sama ahli jawatankuasa Persatuan Bola Sepak Bandaraya Georgetown DTL sebentar tadi.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Kota, Daniel Gooi Zi Sen dan Presiden Persatuan Bolasepak Bandaraya Georgetown DTL Pulau Pinang, Ahmad Shah Ibrahimsha.

Penganjuran tersebut diadakan bersempena sambutan Hari Kebangsaan Ke-65 yang mana telah berlangsung dari 13 Ogos hingga 26 Ogos 2022.

PASUKAN PDRM yang telah menjuarai kejohanan yang diadakan baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Kon Yeow menyatakan bahawa sebanyak enam pasukan dari agensi-agensi Kerajaan Negeri telah mengambil bahagian dan pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah muncul sebagai juara.

 

Oleh : NUR ASHIKIN ISMAIL
Gambar : SITI NURATIKAH RAHMAT
Video : LAW SUUN TING