Kejohanan luncur gaya bebas 2013 lebih meriah

Admin

Oleh: WATA WA NATAF ZULKIFLI

GEORGE TOWN – Kejohanan Luncur Gaya Bebas Antarabangsa Pulau Pinang 2013 baru-baru ini lebih meriah dengan penyertaan atlet dari Singapura, Thailand, Indonesia dan Jepun.

Atlet tempatan dari Pulau Pinang, Kuala Lumpur, Selangor, Perak dan Melaka turut menyertai kejohanan antarabangsa itu bagi merebut kejuaraan dalam 13 kategori yang dipertandingkan.

Exco Belia & Sukan, Wanita, Keluarga & Komuniti dan Kesenian, Chong Eng berkata, kejohanan tersebut diharap dapat menyemarak lagi gaya hidup sihat dan harmoni dalam masyarakat berbilang kaum di negeri itu.

“Penganjuran acara sukan seperti ini turut dilihat sangat positif dalam merealisasikan hasrat Kerajaan Negeri yang menggalakkan rakyatnya mengekalkan cara hidup  sihat di samping menunjukkan keharmonian masyarakat melalui sukan,” ujarnya dalam majlis perasmian kejohanan tersebut di sini baru-baru ini.

Sejajar itu, beliau turut  merakamkan penghargaan kepada Majlis Sukan Negeri (MSN) dan badan bukan kerajaan (NGO) berwajib atas penganjuran sukan tersebut.

Ahli Dewan Undangan Negeri  (ADUN) Padang Lalang itu turut merakamkan penghargaan kepada Juara Luncur Kebangsaan, Cheng Chee Siang atas inisiatif membuka bengkel belajar sukan berkenaan serentak dengan berlangsungnya acara tersebut.

Dalam perkembangan lain, Chong Eng berharap mereka yang berkunjung ke Pulau Pinang sempena kejohanan tersebut turut tidak melepaskan peluang untuk menikmati kelazatan makanan serta keindahan negeri berkenaan.

Kali pertama sukan itu dianjurkan di Pulau Pinang adalah pada tahun 2012.