Kekalkan elaun Pengerusi dan Setiausaha, bukti Kerajaan Negeri hargai jasa MPKK

Admin

JAWI – Atas keprihatinan Kerajaan Negeri, elaun bagi Pengerusi, Setiausaha dan elaun-elaun lain bagi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) dikekalkan.

Menurut Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman, pemberian elaun tersebut tidak akan mengikut ketetapan yang diputuskan Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) iaitu RM500 bagi  Pengerusi dan RM300 (Setiausaha).

“Oleh itu, Kerajaan Negeri telahpun mengambil keputusan mengekalkan elaun Pengerusi dan juga Setiausaha serta elaun-elaun pentadbiran lain seperti mesyuarat, masih sama seperti tahun-tahun sebelumnya.

“Jadi kita (Kerajaan Negeri) tambahkan dari elaun yang diberikan oleh KPLB tadi untuk menjadikan Pengerusi RM700, Setiausaha (RM600) serta elaun-elaun mesyuarat,” ujar beliau pada Majlis   Penyampaian Watikah Pelantikan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Peringkat Daerah Seberang Perai Selatan (SPS) Penggal 2019/2020 dekat Dewan Serbaguna Jawi, pagi tadi.

Hadir sama, Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Dr. Amar Pritpal Abdullah merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN Sungai Bakap; Jason H’ng Mooi Lye (ADUN Jawi)  ; Goh Choon Aik (ADUN Bukit Tambun)  dan Zulkifli Ibrahim (ADUN Sungai Acheh).

Setiausaha Perbandaran bagi Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Ir. Rosnani Mahmod dan Pegawai Daerah SPS, Yazman Yahya  turut hadir sama.

Sehubungan itu, Zakiyuddin berharap anggota MPKK yang dilantik dapat menjalankan tanggungjawab dengan sebaik mungkin dalam membantu Kerajaan Negeri.

“MPKK merupakan perantara di antara Kerajaan Negeri, Kerajaan Pusat dan rakyat, tuan-tuan dan puan-puan adalah barisan pertama yang berhadapan dengan rakyat.

“Ini merupakan satu kerja berat, tiada clock in dan clock out, rakyat boleh ketuk pintu rumah pukul 12 malam hatta 5 pagi, namun jaranglah kecuali kecemasan sahaja,” ujarnya yang juga merupakan ADUN Pinang Tunggal.

Pada majlis tersebut, seramai 53 wakil MPKK menerima watikah lantikan sebagai Pengerusi dan Setiausaha bagi kesemua Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) di SPS.

Oleh: WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : LAW SUUN TING