Kumpulan Tumpu Bincang rancang pembangunan setempat ikut keperluan komuniti – Chong Eng

CHONG Eng (berbaju merah) turut meluangkan masa melawat pameran dari Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) baru-baru ini.

KEBUN BUNGA –  Kumpulan Tumpu Bincang Komuniti yang diperkenalkan Kerajaan Negeri merupakan  inisiatif   bagi merancang pembangunan  sesebuah komuniti mengikut  keperluan setempat.

Menurut Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Keterangkuman Gender dan Agama Selain Islam, Chong Eng, dalam menjayakan matlamat tersebut kaedah Gender Responsive & Participatory Budgeting (GRPB) digunakan bagi memastikan bajet Kerajaan Negeri diagihkan dengan seadilnya kepada  setiap lapisan masyarakat.

“GRPB amat mementingkan penglibatan rakyat yang meliputi pelbagai latar belakang etnik, kumpulan umur, pendidikan, keupayaan, baik dari golongan lelaki mahupun wanita.

“Kita laksanakan GRPB  supaya setiap suara didengari  dan bajet kerajaan dapat diagihkan seadilnya kepada semua kelompok mengikut keperluan.

“Kita tidak mahu buat pembangunan tanpa berbincang dengan semua lapisan masyarakat yang mana akhirnya ianya tidak pun memenuhi kehendak penduduk di sini,” ujar beliau ketika berucap merasmikan Hari Penduduk & Sesi Kumpulan Tumpu Bincang Komuniti Peringkat Flat di Projek Perumahan Rakyat Padang Tembak, Air Itam baru-baru ini.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kebun Bunga, Jason Ong Khan Lee dan Ahli Parlimen Bukit Bendera, Wong Hon Wai.

Pada sesi kumpulan tumpu bincang tersebut, ianya dibahagikan kepada lapan kumpulan berdasarkan gender dan kumpulan umur iaitu bermula daripada kumpulan kanak-kanak sehingga warga emas, termasuk kumpulan Orang Kurang Upaya (OKU).

Kesemua pandapat , keperluan dan isu-isu dari setiap kumpulan akan didengari dan diambil kira supaya setiap suara tidak ketinggalan dalam proses tersebut sebelum disalurkan kepada Kerajaan Negeri melalui Bahagian Perumahan.

Turut diadakan adalah pameran dari pelbagai agensi kerajaan, swasta dan permainan.

Teks & Gambar : WATAWA NATAF ZULKIFLI