Kekalkan muhibah, sejahterakan ekonomi negeri, kata Ketua Menteri

Admin
ca25e6eb 40c5 4e64 ae9c 6b452016560d TUN Ahmad Fuzi Abdul Razak (tengah) diiringi Ketua Menteri (tiga dari kiri) dan Mohd. Yussof Latiff (tiga dari kanan) dalam Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri PEMENANG di Bayan Lepas pada 24 April 2024.

BAYAN LEPAS – Penganjuran rumah terbuka anjuran Persatuan Melayu Pulau Pinang (PEMENANG) bukan sahaja menggambarkan keadaan muhibah yang sebenar serta hubungan harmoni antara kaum di negeri ini, malah juga di seluruh negara.

2bfafe1f 6bf7 4229 a5bc 3f2431cf98ba
KETUA Menteri

Ketua Menteri Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa tiada yang lebih menguntungkan apabila rakyat di negara ini hidup dalam keadaan aman dan harmoni di samping pembangunan ekonomi negeri yang pesat.

“Saya berharap hubungan harmoni seperti ini bukan sahaja dapat dikekalkan, malah diteruskan dalam mengharungi peredaran masa,” jelasnya sambil merakamkan penghargaan kepada Presiden PEMENANG, Tan Sri Dr. Mohd. Yussof Latiff atas jemputan ke majlis keramaian tersebut.

Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang (TYT), Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak turut berkenan menghadiri majlis berkaitan di sini pada 24 April 2024.

Selain itu, Kon Yeow yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi menyatakan bahawa pentadbirannya komited untuk merancakkan pembangunan ekonomi termasuk merealisasikan beberapa projek infrastruktur utama negeri demi kesejahteraan rakyat yang berbilang kaum di Pulau Pinang.

“Tidak mengapa, biarlah saya terlibat dalam permulaan projek-projek ini yang menjadi saksi bahawa saya tekah berusaha sedaya upaya untuk menjalankan tanggungjawab sebagai Ketua Menteri dalam memastikan kesejahteraan seluruh rakyat Pulau Pinang tanpa mengira bangsa dan agama,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan.

9732bd19 6a7a 4e7f a028 a2b92bac1a57
MOHD. Yussof Latiff

Berucap sebelum itu, Mohd. Yussof memberitahu bahawa majlis berkenaan adalah begitu istimewa kerana disambut bersempena ulang tahun ke-97 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tersebut.

Dengan pedoman yang ditunjukkan Tun Ahmad Fuzi dan isteri, Toh Puan Khadijah Mohd. Noor, beliau berkata bahawa PEMENANG akan terus memainkan agen penyemarak semangat muhibah dalam kalangan rakyat Pulau Pinang yang berbilang kaum dan agama.

Hadir sama, isteri kepada Ketua Menteri, Puan Tan Lean Kee;  ADUN Bayan Lepas merangkap Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang, Dato’ Azrul Mahathir Aziz; Konsul Jeneral Republik Indonesia, Wanton Saragih Sidauruk dan isteri, Sintha Wanton.

Sementara itu, dalam sidang media selepas itu, Kon Yeow menyatakan bahawa pentadbirannya akan mengusahakan bantuan kepada keluarga kepada Allahyarham, Muhammad Firdaus Ramli di Sungai Nibong, iaitu salah seorang mangsa anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang maut dalam tragedi dua helikopter terhempas di Lumut, Perak semalam.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : SITI NURATIKAH RAHMAT