Kekalkan rekod Pulau Pinang pengeluar padi per hektar tertinggi negara

Admin
8c590eba f579 419a 8137 21a09035f0c1 KETUA Menteri menzahirkan penghargaan kepada semua pemegang taruh berkaitan sektor pertanian dan keterjaminan makanan negeri, semasa berucap dalam Majlis Berbuka Puasa Bersama-sama Pesawah dan Pelatih Institut Pertanian Bumbung Lima di SMK Dato’ Kailan di sini pada 29 Mac 2024.

PINANG TUNGGAL – Sebanyak 5.224 matrik tan per hektar pengeluaran hasil padi pada musim utama 2022/2023 secara pukal di negeri Pulau Pinang direkodkan sebagai hasil tertinggi dalam negara, sungguhpun meliputi keluasan bertanam 12,105 hektar pada tahun ini.

Sehubungan itu, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa pentadbirannya akan meneruskan kerjasama dengan agensi berkaitan serta sekalian pesawah padi negeri untuk memajukan sektor pertanian dan keterjaminan makanan negeri.

“Sektor pertanian dan keterjaminan makanan merupakan industri yang penting.

“Kita (Kerajaan Negeri) berasa amat bangga dengan para pesawah dan juga jabatan pertanian berkaitan yang telah mengekalkan rekod hasil padi pesawah negeri Pulau Pinang adalah paling tinggi dalam negara,” jelasnya seusai berucap pada Majlis Berbuka Puasa Ketua Menteri Bersama-Sama Pesawah Padi dan Pelatih Institut Pertanian Bumbung Lima dekat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato’ Kailan dekat Paya Keladi di sini pada 29 Mac 2024.

554f9804 a415 4a6f b995 ed596953bf39
SEKALIAN pesawah diraikan dalam majlis berbuka puasa di sini tadi.

Demi memastikan pengeluaran hasil padi negeri ini membawa limpahan manfaat kepada penduduk Pulau Pinang, Kon Yeow yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi menyatakan bahawa pentadbirannya akan mengeluarkan pek beras tempatan dengan jenama ‘Cap Feri’.

“Baru-baru ini, atas inisiatif Exco Agroteknologi & Keterjaminan Makanan dan Pembangunan Koperasi (Fahmi Zainol), kita (Kerajaan Negeri) telah memperkenalkan beras jenama tempatan Cap Feri,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan.

aio 6494
FAHMI Zainol (depan, kanan) dalam sidang media bersama-sama Ketua Menteri (depan, kiri) di sini tadi.

Bercakap dalam sidang media sama, Fahmi memberitahu bahawa beras jenama tempatan Cap Feri dijangka akan berada dalam pasaran dalam tempoh dua bulan lagi.

“Kita berasa beras yang dikeluarkan di negeri Pulau Pinang dapat dirasai rakyat Pulau Pinang.

“(Ini kerana, selama ini) beras yang dikeluarkan di negeri ini hanya 20 peratus berlegar dalam (pasaran) negeri, selebihnya keluar dari negeri Pulau Pinang.

“Dalam tempoh dua bulan lagi, kita akan mula pasarkan (beras tempatan jenama Cap Feri),” ulasnya yang juga ADUN Pantai Jerejak.

Sebelum itu, Kon Yeow, Fahmi dan ADUN Bertam, Dato’ Sri Reezal Merican Naina Merican turut berucap dalam majlis berbuka puasa berkenaan.

ff57307b f45e 4558 b264 a7ccb0c89ea9
REEZAL Merican Naina Merican

Reezal Merican yang juga Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan Parlimen Kepala Batas dalam ucapannya memuji pentadbiran Kon Yeow kerana peduli serta cakna kepada beberapa isu malar segar yang dihadapi oleh sekalian pesawah pada musim penanaman akan datang.

“Antara negeri yang ada peduli dan perhatian kepada pesawah yang tinggi tak lain tak bukan adalah negeri Pulau Pinang,” katanya yang juga Ketua Umno Bahagian Kepala Batas.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR
Video : SIEW CHIA EN