Ketua Menteri ikrar jalankan tanggungjawab secara adil dan saksama

Admin
img 20240330 wa0032

PERMATANG BERANGAN – Walaupun berbeza kaum dan agama, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berikrar akan menjalankan tanggungjawab kepada rakyat secara adil, saksama serta telus.

Beliau berkata, perkara itu penting bagi memastikan pembangunan masyarakat di negeri ini dapat dilaksanakan secara menyeluruh tanpa mengira latar belakang.

“Dalam konteks pembangunan syiar Islam, pelbagai usaha telah dilakukan bagi memastikan umat Islam terutamanya kebajikan golongan asnaf terus terjaga dengan penyaluran bantuan melalui i-Sejahtera dan agihan zakat kepada mereka yang layak.

img 20240330 wa0030

img 20240330 wa0028

img 20240330 wa0020

img 20240330 wa0044

“Ingin saya tekankan bahawa i-Sejahtera merupakan inisiatif Kerajaan Negeri berbentuk bantuan kewangan kepada warga emas, orang kurang upaya (OKU), ibu tunggal, suri rumah dan bayi berusia dua tahun ke bawah.

“Bagi memudahkan urusan ibadah umat Islam di negeri ini pula, sebanyak tujuh buah masjid di seluruh negeri berada dalam fasa pembinaan melalui penambaikan fasiliti.

“Dua buah lagi masjid dalam fasa pra-pelaksanaan dengan sebahagian kerja-kerja tersebut adalah menggunakan peruntukan daripada Kerajaan Negeri,” katanya ketika berucap pada program Bubur Lambuk Bersama Ketua Menteri dekat Masjid Jamiul Sharif Pokok Machang dekat sini sebentar tadi.

Turut hadir, Pengerusi Kariah Masjid Jamek Pokok Machang, Datuk Ahmad Darus; Ketua Pegawai Eksekutif Wakaf Pulau Pinang, Mohsin Md. Sharif; Pegawai Penyelaras Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Permatang Berangan, Nor Hafizah Othman; Pegawai Penyelaras Khas kepada Ketua Menteri, Lay Hock Peng; Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Wan Saifulruddin Wan Jan serta ramai lagi.

Sebelum itu, Kon Yeow bersama kira-kira 200 orang hadir mengacau 10 kawah bubur lambuk yang dimasak secara bergotong-toyong sebelum melawat galeri masjid berkenaan yang menyimpan pelbagai barangan bersejarah.

Mengulas mengenai program tersebut, Kon Yeow berkata bahawa tradisi memasak bubur lambuk secara bergotong-royong dilihat dapat mengeratkan silaturahim selain mengukuhkan nilai-nilai toleransi, perpaduan dan rahmah untuk membentuk sebuah masyarakat Madani.

“Sebagai Ketua Menteri, saya amat berbangga menyaksikan tradisi gotong-royong memasak dan mengedarkan bubur lambuk sepanjang bulan Ramadan ini kekal subur dalam kehidupan bermasyarakat di negeri ini,” ujarnya.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : MUHAMMAD AMIR IRSYAD OMAR
Video : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI