Kekecohan tidak luntur semangat turun padang

Admin

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI

Gambar : LAW SUUN TING

TELOK BAHANGProgram Santai bersama Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng bersama penduduk Telok Bahang dicemari dengan insiden kekecohan dicetuskan kira-kira 50 ahli pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dipercayai Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) di sini baru-baru ini.

Kekecohan tercetus apabila mereka ‘dibenarkan’ mengadakan perhimpunan aman d i perkarangan Pasar Awam Telok Bahang bagi meluahkan rasa tidak puas hati terhadap pentadbiran Kerajaan Negeri.

Walau bagaimanapun, adegan tolak-menolak dan pergelutan berlaku apabila salah seorang ahli Perkasa bertindak mendekati dan menolak Ketua Menteri.

“Walaupun dia (ahli Perkasa) sempat menolak saya, saya tidak dicederakan hasil usaha seorang pemimpin Pakatan Rakyat (PR) tempatan yang berjaya menghalang pemuda tersebut.

“Sikap ‘tidak peduli’ polis mungkin telah menyebabkan pemuda tersebut memberanikan diri menyerang saya,” ulas Ketua Menteri yang meminta pihak berkuasa tersebut menimbang semula ‘sikap’ sedemikian bagi mengelakkan persepsi awam bahawa mereka (polis) membenarkan taktik ganas Perkasa untuk mengugut pemimpin PR,’’ kata Guan Eng pada satu kenyataan akhbar.

SEBAHAGIAN penduduk pelbagai lapisan bangsa dan umur yang hadir pada Majlis Pelancaran WiFi Percuma di Dewan Sri Pantai, Bayan Lepas di sini.
SEBAHAGIAN penduduk pelbagai lapisan bangsa dan umur yang
hadir pada Majlis Pelancaran WiFi Percuma di Dewan Sri Pantai,
Bayan Lepas di sini.

Beliau menyatakan bahawa,walaupun kekecohan tercetus, ia tidak melunturkan semangat dan hasrat pimpinan Kerajaan Negeri untuk turun padang dan berjumpa dengan masyarakat setempat.

“Saya percaya, rakyat kini pandai menilai dan saya serahkan kepada rakyat terutama saksipada hari kejadian untuk menilai tindakan Perkasa itu,” ujarnya.

Bersempena program tersebut, Ketua Menteri bersama pucuk pimpinan negeri termasuk Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Abdul Halim Hussain dan Ahli Parlimen Balik Pulau, Mohd. Yusmadi Mohd. Yusoff sempat meluangkan masa bersama penduduk di Pasar Awam Telok Bahang. Malah, beliau turut menyampaikan sumbangan Kerajaan Negeri kepada 20 warga emas, 20 ibu tunggal dan 10 pelajar cemerlang bagi Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Telok Bahang.

Di samping itu, Ketua Menteri dan pucuk pimpinan turut merasmikan Plenitude Penang International Dragon Boat Festival 2012 di Empangan Telok Bahang dan melawat pekan Balik Pulau sebelum menyertai Program Hari Mesra Penduduk Flat Lily Bersama Ketua Menteri di Titi Serong di sini.

Beliau turut menghadiri majlis perkahwinan salah seorang kakitangan Pejabat Ketua Menteri, Idzham Ahmad di Kampung Paya, Simpang Empat di sini.