Keuntungan selepas cukai PBAHB naik 74 peratus

Admin

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF

GEORGE TOWNPBA Holding Bhd. (PBAHB) mencatatkan peningkatan keuntungan selepas cukai (PAT) bagi tahun terakhir 31 Disember 2011 sebanyak 74 peratus kepada RM45.7 juta pada 2012 berbanding tahun 2010 sebanyak RM26.2 juta.

Ketua Menteri merangkap Pengerusi PBAHB, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, keuntungan tersebut di antaranya dipacu oleh hasil yang lebih tinggi berikutan semakan semula tarif dagangan, peningkatan dalam pendapatan operasi dan pengurangan perbelanjaan cukai pendapatan.

“Hasil lebih tinggi daripada penggunaan perdagangan diperoleh akibat semakan semula tarif perdagangan yang telah diperkenalkan mulai 1 November 2010 berikutan pertumbuhan ekonomi lebih kukuh pada 2011.

“Inisiatif ini juga telah meningkatkan pendapatan operasi lain daripada pemulihan dan pembalikkan hutang lapuk, gantirugi yang ditetapkan dan caj lain serta keuntungan dalam pelupusan pelaburan ekuiti,” ujarnya pada satu sidang media selepas Mesyuarat Agung Tahunan PBAHB Ke-12 baru-baru ini di sini.

Tambah Guan Eng, tarif air bagi penggunaan domestik di Pulau Pinang adalah yang paling rendah dalam negara.

“Tarif air di Pulau Pinang untuk penggunaan domestik sehingga 35,000 liter sebulan adalah yang paling rendah di Malaysia iaitu RM0.31 bagi setiap 1,000 liter. Manakala, tarif perdagangan kita juga antara yang terendah dalam negara bagi pengambilan sehingga 500,000 liter sebulan,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau turut mengumumkan pencapaian PBAHB di peringkat antarabangsa ekoran kejayaan merangkul anugerah, International Waterlinks Award 2011 daripada Waterlinks.

“Penganugerahan tersebut adalah hasil usahasama International Water Association (IWA), the Asian Development Bank (ADB) dan United States Agency for International Development (USAID) dalam membantu PDAM Tirta Musi Palembang memperbaiki bekalan air secara berterusan dan meningkatkan akses kepada air minuman yang selamat buat 150,000 penduduk di sana,’’ jelasnya.

Hadir sama Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Mansor Othman; Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P. Ramasamy dan Pengurus Besar PBA, Ir. Jaseni Maidinsa.

KETUA Menteri ditemani Mansor Othman (kiri sekali), Prof. Dr. P. Ramasamy (kanan sekali) dan Jaseni Maidinsa (kanan sekali) pada majlis sidang akhbar pengumuman keuntungan PBAHB di sini baru-baru ini.
KETUA Menteri ditemani Mansor Othman (kiri
sekali), Prof. Dr. P. Ramasamy (kanan sekali) dan
Jaseni Maidinsa (kanan sekali) pada majlis sidang
akhbar pengumuman keuntungan PBAHB di sini
baru-baru ini.