Kelas tuisyen percuma Taman Tun Sardon demi kurangkan beban ibu bapa

SERI DELIMA – Kelas tuisyen percuma yang disediakan untuk anak-anak di Taman Tun Sardon adalah bertujuan mengurangkan bebanan ibu bapa akibat kos sara hidup yang kian meningkat, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Delima, R.S.N. Rayer.

Menurutnya, kelas tuisyen percuma yang kini memasuki tahun ketiga penganjurannya menawarkan pembelajaran untuk subjek Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains bagi memastikan para pelajar dapat menguasai subjek-subjek berkaitan.

“Saya berharap dengan kelas bimbingan percuma ini, para pelajar mampu memperoleh pencapaian lebih hebat khususnya dalam tiga mata pelajaran yang sentiasa menjadi cabaran kepada mereka.

“Sekiranya para pelajar yang bakal menduduki peperiksaan UPSR (Ujian Penilaian Sekolah Rendah), Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mendapat agregat ‘A’, mereka akan dianugerahi insentif RM100 bagi setiap mata pelajaran,” ucapnya pada Majlis Pelancaran Kelas Tuisyen Percuma dan Serahan Bantuan Warga Emas serta Ibu Tunggal di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) Taman Tun Sardon, Mohd. Hafiz Abdul Aziz dan Ahli-ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), para guru dan komuniti setempat.

Dalam majlis sama, seramai 55 penerima yang terdiri daripada warga emas, ibu tunggal dan orang kurang upaya (OKU) masing-masing menerima sumbangan wang tunai berjumlah RM50 serta barangan runcit sebagai tanda penghargaan.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ram Karpal Singh menyatakan bahawa penganjuran kelas tuisyen percuma yang dimulakan sejak zaman mendiang ayahnya, Karpal Singh kini akan diteruskan.

“Saya akan teruskan legasi perjuangan ini yang memfokuskan kepada pencapaian dalam bidang akademik anak-anak di keseluruhan kawasan ini,” ujarnya.

Sementara itu, salah seorang penerima sumbangan, Siti Hadiah Awang, 71, ketika ditemui wakil Buletin Mutiara menzahirkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri khususnya ADUN Seri Delima yang sentiasa prihatin terhadap kebajikan rakyat.