KN bersama pemaju usaha sedia keperluan rumah untuk rakyat Pulau Pinang

BATU MAUNG – Kerajaan Negeri Pakatan Harapan yang pernah disifatkan tidak mempunyai pengalaman mentadbir kini mampu menyediakan kira-kira 24,227 rumah mampu milik (RMM) iaitu lima kali ganda berbanding era Barisan Nasional (BN).

Menurut Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan, Jagdeep Singh Deo, jumlah itu adalah dari tahun 2008 sehingga 2017 meliputi (RMM) Jenis A iaitu berharga RM42,000 dan Jenis B (RM72,500).

“Bagi tempoh sama ketika era BN, iaitu tahun 1999 hingga 2007 mereka (BN) cuma bina kira-kira 5,000 unit sahaja untuk Jenis A dan B… manakala bagi Kerajaan Negeri Pakatan Harapan, sejak tahun 2008 hingga kini, sejumlah 74,161 buah rumah dari Jenis A hingga RMM RM300,000 sudah, sedang dan akan dibina.

“Bagi, Kerajaan Negeri melalui Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) pula sejak 2008 hingga kini sudah menyediakan kira-kira 27,000 unit RMM.

“Anda boleh lihat hampir setiap minggu juga kita adakan program sama ada pecah tanah, penyerahan kunci mahupun memberikan sijil layak menduduki (CCC), sekaligus membuktikan Kerajaan Negeri bersama pemaju berusaha menyediakan keperluan rumah untuk rakyat negeri ini,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat pada Majlis Pecah Tanah bagi Projek RMM Tree0 oleh Kumpulan Hunza di sini 19 Mac lalu.

Hadir sama, Exco Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna merangkap ADUN Batu Maung, Dato’ Abdul Malik Abul Kassim, Ahli-ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Pengarah Urusan Kumpulan Hunza, Datuk Khor Siang Gin.

Difahamkan projek Tree0 yang dijangka siap pada 2022 mempunyai 1,240 unit RMM yang menyasarkan golongan pendapatan pertengahan.