Kelas tuisyen percuma untuk pelajar DUN Batu Maung

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF


BATU MAUNG – Seramai 81 pelajar terdiri daripada anak-anak keluarga Persatuan Nelayan Permatang Tepi Laut di sini teruja apabila masing-masing menerima bantuan beg dan baucar persekolahan bernilai RM120 di sini baru-baru ini.

Turut menerima sumbangan sama adalah 350 pelajar dari kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Maung dengan setiap kawasan diwakili 35 pelajar terpilih.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Maung merangkap Exco Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Abdul Malik Abul Kassim berkata, sumbangan tersebut adalah sebagai persediaan bagi pelajar-pelajar terbabit menghadapi sesi persekolahan baru.

“Sumbangan yang diberikan adalah kepada pelajar sekolah rendah dan menengah yang pendapatan bulanan isi rumah adalah kurang daripada RM1,000 hingga RM2,000.

“Bantuan ini merupakan kesinambungan buat tahun keempat,’’ katanya pada Majlis Penyampaian Bantuan Persekolahan yang diadakan di Dewan Persatuan Nelayan Permatang Tepi Laut di sini baru-baru ini Hadir sama, Ketua Unit Nelayan, Mohd. Kassim Mohamed.

Dalam pada itu, Abdul Malik memberitahu, beliau kini dalam usaha mewujudkan kelas tuisyen secara percuma kepada para pelajar yang bakal menduduki peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bertempat di dewan-dewan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) di sini.

“Diharap bantuan tuisyen dan persekolahan ini dapat mengurangkan beban ibu bapa dan memberikan semangat untuk memajukan anak-anak hingga berjaya,” ujarnya.

ABDUL Malik Abul Kassim MALIK Kassim (belakang kemeja putih) bersama-sama para pelajar menunjukkan tanda bagus pada Majlis Penyampaian Bantuan Persekolahan di sini
ABDUL Malik Abul Kassim MALIK Kassim (belakang kemeja putih)
bersama-sama para pelajar menunjukkan tanda bagus pada Majlis
Penyampaian Bantuan Persekolahan di sini