Kelewatan MDEP, Pusat diharap tidak kompromi bekal air ke P. Pinang

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri berharap Kerajaan Pusat dan Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) tidak berkompromi dalam membekalkan air mentah ke Pulau Pinang sekiranya berlaku musim kemarau rentetan kelewatan menyiapkan Projek Pembesaran Empangan Mengkuang atau Mengkuang Dam Expansion Project (MDEP) dalam tempoh yang ditetapkan.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, Pusat perlu memastikan kelewatan projek berkenaan tidak menjejaskan jaminan pembekalan air mentah ke Pulau Pinang untuk tempoh sekurang-kurangnya dua tahun lagi selepas pengumuman penangguhan projek yang dibiayai oleh KeTTHA itu, selama setahun.

“Sebelum projek pembesaran, Empangan Mengkuang merupakan rizab strategik air terpenting di Pulau Pinang terutama ketika musim kemarau.

“Kelewatan menyiapkan projek berkenaan menimbulkan kebimbangan, oleh itu, Kerajaan Negeri melalui Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) akan menulis surat kepada KeTTHA untuk memberi jaminan bertulis agar bekalan air mentah dapat dibekalkan ke Pulau Pinang,” katanya dalam satu sidang media yang diadakan di Dewan Undangan Negeri (DUN) sempena Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga DUN Ke-13 di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P. Ramasamy; Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan, Jagdeep Singh Deo; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Delima, R.S.N. Rayer; ADUN Batu Uban, Dr. T. Jayabalan; ADUN Bagan Dalam, A. Tanasekharan dan Pengurus Besar PBAPP, Dato’ Ir. Jaseni Maidinsa.

Mengulas lanjut, Guan Eng memberitahu bahawa projek yang menelan belanja RM1.2 bilion itu sepatutnya siap pada 31 Julai 2016 dan kini dikatakan mengalami kelewatan atas sebab-sebab teknikal.

“Sebelum ini, kita (Kerajaan Negeri) telah bersetuju untuk merendahkan paras air di Empangan Mengkuang seperti yang diminta oleh KeTTHA.

“Sebagai balasan, kita (Kerajaan Negeri) diberi jaminan bekalan air mentah dari Kedah yang akan dilepaskan ke Sungai Muda jika kemarau atau berlaku bekalan air tidak mencukupi. Malah, KeTTHA akan menanggung semua kos pelepasan air,” katanya yang berharap agar jaminan bekalan air dapat dilanjutkan.

Dalam pada itu, Guan Eng yang juga merupakan Pengerusi PBAPP, berharap rakyat Pulau Pinang dapat menjimatkan penggunaan air untuk mengelak krisis air pada masa hadapan.

“Kita berbangga kerana Pulau Pinang merupakan satu-satunya negeri yang belum melaksanakan catuan air sejak empat tahun lalu dan ini adalah hasil pengurusan bekalan air mentah yang baik oleh PBAPP melalui toleransi sifar terhadap catuan air.

“Sekiranya berlaku catuan air, maka Kerajaan Negeri akan susah kerana ia melibatkan 561,811 pengguna berdaftar termasuk syarikat-syarikat multinasional yang beroperasi 24 jam sehari,” ujar beliau.

Sementara itu, Jaseni ketika diminta mengulas memberitahu, pihaknya akan membuat permohonan secara bertulis kepada Kementerian untuk melanjutkan tempoh jaminan bekalan air sehingga maksimum tiga tahun lagi.

“Apabila siap kelak, Empangan Mengkuang dapat membekalkan lebih tiga kali ganda air dari kuantiti sedia ada,”ujarnya.

Empangan Mengkuang sebelum ini dianggarkan mempunyai keluasan tiga kali ganda dari Empangan Air Itam dan apabila siap kelak, jumlah keluasan akan menjadi 27 kali ganda.