Keluarga B40 di KADUN Batu Maung terima agihan zakat NGO

BATU MAUNG – Sejak diisytihar tempoh pandemik COVID-19 pada Mac 2020, Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Maung sudah mengagihkan lebih 10,000 bakul makanan kepada keluarga terkesan akibat wabak tersebut.

Perkara tersebut dimaklumkan sendiri oleh ADUNnya, Dato’ Abdul Halim Hussain pada Majlis Sumbangan Zakat Pertubuhan Pembangunan Masyarakat Sejahtera (PPMS) di Masjid Umar Abdul Aziz Batu Maung petang tadi.

Menurutnya, sumbangan yang disampaikan tersebut tidak termasuk sumbangan daripada badan-badan bukan kerajaan.

“Ini tidak termasuk lagi kira-kira 3,000 lagi bakul makanan yang disumbangkan oleh badan bukan kerajaan (NGO) yang turut berganding bahu bersama-sama kita melawan pandemik COVID-19.

“(Dan) untuk itu, hari ini saya juga mengalu-alukan sumbangan zakat berupa bakul makanan bernilai RM70 kepada 50 keluarga terpilih di sini.

“Selain itu, pembayaran bil elektrik atau air sebanyak RM50 oleh PPMS turut disumbangkan kepada golongan B40 terpilih di kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Batu Maung.

“Walaupun sudah memasuki Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara (PPN) dengan hampir semua sektor dan aktiviti dibenarkan, kita tidak harus leka, kerana virus masih ada dalam komuniti kita,” ujarnya yang juga Exco Perdagangan, Industri dan Pembangunan Usahawan.


Hadir sama, Presiden PPMS Bhurhanuddeen Abdullah dan pemimpin-pemimpin Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) setempat.

Terdahulu, Bhurhanudden ketika berucap memaklumkan bahawa program pengagihan zakat tersebut turut diadakan bagi KADUN Pinang Tunggal, Pusat Khidmat ADUN Angkat Seberang Jaya dan Surau Taman Free School.

Beliau berharap bantuan tersebut sedikit-sebanyak  dapat meringankan beban keluarga terkesan.

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD