Kem cuti sekolah lahir remaja tinggi sahsiah

PENAGA – Penganjuran Kem Hafalan al-Quran dan Pemantapan Ibadah dekat Masjid Permatang Keriang di sini pada musim cuti persekolahan adalah bertujuan memberi peluang kepada peserta meningkatkan kemahiran dalam pembacaan al-Quran.

Pada masa sama, ia juga bagi membolehkan golongan kanak-kanak dan remaja mempelajari perkara-perkara lain berkaitan pembinaan ketinggian sahsiah peribadi Muslim.

Menurut Pegawai Penyelaras Kawasan Dewan Undangan Negeri (PPK) Penaga, Ridwan Osman, beliau lazimnya mengalu-alukan program sebegitu yang bukan sahaja mampu mengisi masa lapang semasa cuti persekolahan, tetapi juga meningkatkan kefasihan membaca al-Quran serta kepentingan menunaikan solat yang terkandung dalam ilmu fardhu ‘ain.

“Kem yang dijalankan adalah secara sistem halaqah, iaitu sekumpulan pelajar duduk bersama seorang ustaz, turut memberi penekanan aspek ilmu tajwid dan iqra’ serta motivasi dalam melahirkan remaja yang celik al-Quran dan berkaliber,’’ jelas beliau baru-baru ini.

Kem selama sebulan berkenaan disertai kira-kira 100 pelajar berusia dari 8 tahun sehingga 15 tahun.

Terbahagi kepada dua kategori, iaitu sekolah rendah dan sekolah menengah, kem tersebut merupakan program tahunan acapkali cuti persekolahan bermula.