Kem Falak dan Astronomi diperluas

Admin

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI

BATU MAUNG – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Maung, Datuk Abdul Malik Abul Kassim menganjurkan Kem Falak dan Astronomi untuk pelajar- pelajar sekolah agama rakyat (SAR) baru- baru ini.

Kem yang disertai 40 pelajar Tahun 4 hingga Tahun 6 dari SAR Batu Maung dan SAR Permatang Damar Laut diadakan di Pusat Falak Sheikh Tahir, Pantai Acheh di sini.

“Program hasil kerjasama dengan Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang adalah yang julung kali diadakan. “InshaAllah untuk tahun-tahun mendatang, saya bercadang untuk membuka penyertaan kepada pelajar- pelajar Tingkatan 2 hingga Tingkatan 4 pula,” ujar Abdul Malik kepada Buletin Mutiara baru-baru ini di sini.

Tambahnya, pendedahan ilmu falak dan astronomi adalah perlu dalam usaha merealisasikan teras pendidikan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) N37 iaitu ‘Mencerna Kecemerlangan Keilmuan’.

“Mereka ini (pelajar-pelajar yang mengikuti Kem Falak dan Astronomi) adalah generasi pewaris yang akan mewarisi apa yang kita bekalkan hari ini, inshaAllah.

“Alhamdulillah, selain program- program pendidikan sebegini, saya juga masih meneruskan program-program berkebajikan untuk DUN N37 antaranya, pemberian tuisyen percuma yang masih diteruskan sehingga ke hari ini,” kata Abdul Malik yang juga merupakan Exco Hal Ehwal Agama Islam, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.

Program sehari itu turut diselitkan dengan pelbagai aktiviti antaranya, membina roket air, mencipta jam matahari, mencerap hilal Sya’aban dan pelbagai program pengenalan falak dan astronomi.