Lebih 400 sertai larian amal

Admin

BERAPIT – Selepas kejayaan penganjuran ‘Kampung Charity Fund Run 2012’ tahun lalu, program larian amal, ‘Kampung Fund Walk Treasure Hunt 2013’ yang diadakan pada 9 Jun lalu turut mendapat sambutan di luar jangka, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Berapit, Lydia Ong Kok Fooi di sini baru-baru ini.

Menurutnya, tujuan larian amal ‘Kampung Fund Walk Treasure Hunt 2013’ adalah untuk menanam sikap cintakan gaya hidup sihat demi kesihatan dan kesejahteraan hidup.

“Masyarakat kini semakin peka akan kesihatan dan gaya hidup sihat.

“Tahniah kepada semua peserta yang menyertai larian amal ini,” katanya pada majlis perasmian program di Kampung Berapit di sini.

‘Kampung Fund Walk Treasure Hunt 2013’ adalah hasil usahasama Exco Belia & Sukan, Pembangunan Wanita, Keluarga & Komuniti dan Kesenian, Chong Eng bersama Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang (MSNPP), Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Lions Club of Penang Metropolitan dan Leo Club of Penang Metropolitan.

Hadir sama, Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong.

Program larian amal bermula dan berakhir di Pasar Awam Berapit disertai lebih 400 individu dari pelbagai latar belakang dan peringkat usia.

Selain larian amal, turut diadakan senamrobik dan kutipan amal bagi mengisi tabung pertubuhan dan persatuan badan bukan kerajaan (NGO) di Pulau Pinang.