Kem kepimpinan dan jati diri perkukuh nilai positif, tingkat kemahiran belia

Admin

BUKIT TENGAH – Exco Belia, Sukan dan Kesihatan, Daniel Gooi Zi Sen, mahu golongan belia di Pulau Pinang aktif melibatkan diri dalam bidang kesukarelawan sebagai salah satu cara menyumbang kepada komuniti.

 

 

Tambahnya, dengan menyertai aktiviti tersebut, jaringan yang dibina oleh belia juga dilihat sebagai satu perkara positif dengan kepelbagaian latar belakang yang terlibat.

 

“Hari ini saya melihat Kem Kepimpinan dan Jati Diri Sukarelawan Belia Pulau Pinang menjadi program yang berobjektif meningkatkan kepimpinan dan memupuk jati diri golongan Sukarelawan Belia Pulau Pinang serta melahirkan golongan sukarelawan yang lebih berdaya saing.

 

 

 

“Walaupun anda semua berasal daripada latar belakang yang berbeza seperti umur, kaum, namun anda semua telah menunjukkan semangat berpasukan dan perpaduan yang kukuh.

 

 

 

“Justeru saya harap melalui kem ini, ia dapat memperkukuhkan nilai-nilai positif dalam diri setiap sukarelawan dan anda dapat bersedia menghadapi cabaran masa depan tanpa putus asa,” ujar Zi Sen pada Kem Kepimpinan dan Jati Diri Sukarelawan Belia Pulau Pinang Sempena Hari Sukarelawan Sedunia di Pusat Kokurikulum Negeri Pulau Pinang di sini semalam.

 

 

 

 

Turut hadir, Pengurus Besar Perbadanan Pembangunan Belia Pulau Pinang (PYDC), Dr. Gwee Sai Ling dan wakil Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang.

 

 

 

Pada kem tersebut, seramai 80 orang belia telah menyertai kem berkaitan yang diadakan selama tiga hari dua malam sempenan Hari Sukarelawan Sedunia yang disambut pada setiap 5 Disember setiap tahun.

 

 

 

Difahamkan kem ini merangkumi pelbagai aktiviti yang bertujuan untuk meningkatkan kemahiran golongan belia dalam pelbagai aspek.

 

 

 

Antaranya adalah kemahiran komunikasi, kepimpinan, disiplin, kreativiti, keyakinan diri, uji minda, kesedaran atas isu semasa dan sebagainya.

 

 

 

Aktiviti-aktiviti yang disediakan termasuklah wall climbing, low rope element, rentas halangan, aktiviti stesen, treasure hunt, malam kebudayaan dan lain-lain.

 

 

 

Teks & Gambar : WATAWA NATAF ZULKIFLI