Kem remaja membentuk minda lestari

Sumbangan : PENANG GREEN COUNCIL (PGC)

SERAMAI 27 orang pelajar berusia antara 14 hingga 18 tahun dari Pulau Pinang dan Kedah telah menyertai Kem Remaja anjuran Penang Green Council. Kem yang memasuki tahun ketiga penganjurannya tahun ini bertemakan ‘ Tenaga Yang Boleh Diperbaharui: Kuasa Alam Semulajadi’, berlangsung pada 4&5 Nov 2017 di Pusat Kegiatan Sukan Air Tanjung Bunga, Pulau Pinang.

Kem Remaja ini dirangka khusus untuk menggalakkan para pelajar berfikir secara kritis dan menyediakan mereka untuk memimpin dan mewujudkan alam sekitar yang lebih mampan. Kem ini memberi penekanan tentang peranan golongan remaja dalam pemuliharaan alam sekitar dengan memberi fokus kepada tenaga yang boleh diperbaharui.

“Semasa sesi perkongsian, saya teruja dengan idea yang telah dibentangkan oleh para peserta kerana ianya sangat menarik dan
mengagumkan. Tahniah dan terima kasih diucapkan kepada PGC kerana memberi peluang kepada peserta untuk berkongsi idea dan pandangan mereka,” kata Cik Loo Qiu Xi dari Solarvest Energy Sdn Bhd.

Beliau telah berkongsi mengenai Tenaga yang Boleh Diperbaharui serta kepentingannya kepada alam sekitar. Selain itu, Encik Lai Chee Hui dari Water Watch Penang turut dijemput untuk berkongsi mengenai peranan remaja dalam mengurangkan impak perubahan iklim.

Selain daripada sesi perkongsian, kem ini juga terisi dengan beberapa aktiviti menarik seperti reka cipta ketuhar solar menggunakan bahan kitar semula, Explorace Pencarian Tenaga, dan tayangan filem alam sekitar. Para pelajar diberi peluang untuk membentangkan idea – idea mengenai model yang menggunapakai tenaga yang boleh diperbaharui. Melalui aktiviti yang dijalankan, para peserta telah memperoleh pelbagai maklumat berguna mengenai tenaga yang boleh diperbaharui di Malaysia serta kepentingannya kepada alam sekitar.

Kem Remaja ini turut mendapat sokongan daripada sekumpulan sukarelawan dari Universiti Sains Malaysia Pulau Pinang.

Jutaan terima kasih diucapkan kepada Solarvest Energy Sdn Bhd, Water Watch Penang, serta semua pihak yang terlibat dalam menjayakan Kem Remaja 2017. Penang Green Council (PGC) merupakan sebuah pertubuhan bukan berasaskan keuntungan (NPO) yang ditubuhkan untuk memupuk dan memberi kesedaran dan pendidikan alam sekitar di Pulau Pinang. PGC telah menganjurkan beberapa siri program jaringan komuniti seperti Kem Hijau, Kem Hijau Muda, Bengkel Kepenggunaan, dan Kem Remaja sebagai usaha untuk mendekati masyarakat.

Bagi mereka yang berminat untuk menjadi pihak penganjur bersama, sila hubungi kami di 04- 2503322 / 3321 atau e-mel: [email protected].