Kad pintar Saya Pulau Pinang inisiatif kurang beban rakyat, termasuk perubatan & kesihatan

DATUK KERAMAT – Ekoran penurunan peruntukan perubatan dibentangkan dalam Bajet 2018 Pusat dari RM950 juta kepada RM931 juta, Kerajaan Negeri bakal memperkenalkan kad pintar

Saya Pulau Pinang mulai tahun depan sebagai salah satu inisiatif menangani beban rakyat berhubung perkara berkaitan, kata Ketua Menteri, Y.A.B Tuan Lim Guan Eng.

Perkara tersebut dinyatakan beliau ketika berucap pada Majlis Rumah Terbuka Deepavali Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Datuk Keramat dekat Taman Jajar di sini baru-baru ini.

“Kita (Kerajaan Negeri) lihat hal ini berlaku, jadi kita (Kerajaan Negeri) kena bantu rakyat kerana ianya melibatkan ubat dan kesihatan.

“Kita (Kerajaan Negeri) perkenalkan kad pintar Saya Pulau Pinang pada Bajet Marhaen 2018 yang dibentangkan pada 2 November lalu.

“Kita (Kerajaan Negeri) hendak bantu mana-mana keluarga yang berpendapatan RM5,000 ke bawah… kita (Kerajaan Negeri) ‘masukkan’ kredit RM300 supaya rakyat boleh ke klinik swasta, sekali jumpa doktor maksima RM50 bersamaan enam kali setahun. Saya mahu doktor yang bagus.

“Kalau belum kahwin (bujang), gaji bulanan tidak lebih RM2,500, kita (Kerajaan Negeri) bagi kredit RM150,” jelasnya yang juga ADUN Air Putih pada majlis berkaitan.

Hadir sama, Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalu Lintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow; Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan merangkap ADUN Datuk Keramat selaku tuan rumah, Jagdeep Singh Deo; Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar, Phee Boon Poh; ADUN Sungai Pinang, Lim Siew Khim, ADUN Seri Delima, R.S.N Rayer; Ahli Parlimen Jelutong, Jeff Ooi Chuan Aun dan Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh.

Kon Yeow, Jagdeep dan Chuan Aun turut berucap pada majlis rumah terbuka tersebut.

Mengulas lanjut mengenai kad pintar tersebut, Guan Eng memaklumkan bahawa kad itu juga bakal melayakkan rakyat negeri ini menaiki bas awam percuma di waktu puncak.

Antara intipati Bajet Marhaen 2018 yang diulas Ketua Menteri termasuk pemberian insentif RM300 kepada wanita bekerjaya yang mempunyai anak berusia enam tahun dan ke bawah; kenaikan 30 peratus insentif Program Warga Emas dan orang kurang upaya (OKU) kepada RM130 dan pengecualian cukai pintu bagi rumah kos rendah, sederhana rendah serta rumah
kampung.

Turut tersenarai, pengecualian fi lesen perniagaan bagi penjaja kecil; pemberian kanopi Saya Pulau Pinang kepada 2,000 penjaja; naik taraf Little India; peruntukan rancangan tebatan banjir (RTB) RM 62 juta; pembinaan empat kolam renang bersaiz olimpik serta 82 gelanggang badminton dalam menjadikan Pulau Pinang ‘negeri badminton’; projek khas pembangunan seni di Persiaran Karpal Singh dan Gat Lebuh Macallum; peningkatan sumbangan hal ehwal Islam dari RM50 juta kepada RM53 juta; peruntukan e-Sukan bagi anak muda dan pelbagai lagi demi rakyat.

“Bajet ini adalah untuk semua lapisan masyarakat tanpa mengira agama dan latar belakang… kita (Kerajaan Negeri) tidak anti manamana agama seperti dituduh, kita cuma anti Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dan anti rasuah,” tegas beliau.

Pada majlis rumah terbuka tersebut, kira-kira 100 individu kurang bernasib baik turut menerima bantuan berupa barangan keperluan harian.