Kemahiran Asas VSEP-AES, buka peluang muda mudi dalami bidang kemahiran serta vokasional

KEMAHIRAN Asas VSEP-AES merupakan inisiatif Perbadanan Pembangunan Belia Pulau Pinang (PYDC) untuk menyingkap senario melibatkan golongan muda pada masa kini yang terlepas peluang dan minat serta kemampuan diri terhadap bidang akademik.

Dalam mempelopori inisiatif tersebut, PYDC telah bekerjasama dengan Fourier TVET Center Sdn. Bhd. dan Program Agenda Ekonomi Saksama (AES) di bawah Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

“Pada mulanya saya tidak yakin dengan program ini, tetapi selepas tempoh latihan hampir empat minggu, saya telah mendapat peluang pekerjaan dengan bayaran gaji di antara RM1,400 hingga RM1,600,” kata Muhamad Azarol Mohd. Redzuan, 21, yang kini berkhidmat di Syarikat AEM, Bayan Lepas.

Muhamad Zarol pada awalnya hanya menemani kawannya untuk menyertai Kemahiran VSEP, namun kini telah membuat perancangan untuk terus bersama-sama VSEP hingga ke peringkat Diploma.

Tambah beliau, segala latihan yang diberikan pada awal sesi pembelajaran sememangnya diguna pakai dalam sektor pekerjaannya sekarang.

Umumnya, kemahiran Asas VSEP merangkumi tiga bidang iaitu elektrikal, mekanikal dan mekatronikal.

Setiap pelatih perlu menjalani ketigatiga kursus berkaitan selama sebulan sebelum ditempatkan ke kawasan perindustrian.

Semua pelajar yang mengambil kursus berkenaan akan ditempatkan dekat syarikat-syarikat beroperasi di sekitar kawasan perindustrian Bayan Lepas dan lokasi terdekat dengan pelajar.

“Sebagai anak sulung daripada empat beradik, adalah menjadi tanggungjawab saya untuk membantu keluarga. “Melalui Kemahiran VSEP, ia telah membantu mengurangkan beban kewangan yang saya tanggung,” jelas Nur Farah Qurratu’ain Mohd. Nor, 20, satusatunya pelajar wanita dalam Kemahiran VSEP kelolaan PYDC. Sebelum menyertai program Kemahiran VSEP-AES, Nur Farah Qurratu’ain pernah berkhidmat sebagai penasihat pusat rawatan dan kecantikan di Kuala Lumpur.

Namun, disebabkan minatnya yang mendalam dalam bidang kemahiran, ia telah mendorongnya pulang ke Pulau Pinang dan mengikuti program tersebut.

Kini, beliau berkhidmat di Syarikat Plexus Riverside, Bayan Lepas. Mengulas lanjut, Muhamad Azarol dan Nur Farah Qurratu’ain memberitahu, penglibatan mereka mengikuti program berkaitan telah memberi satu suntikan semangat baru kepada golongan tidak berkemampuan untuk terus mendalami minat yang mereka ceburi, khususnya dalam bidang kemahiran serta vokasional.

Bagi mereka yang berminat mengikuti program ini, pengambilan pelajar baru adalah melibatkan tiga sesi dalam tempoh masa setahun.

Sekiranya peserta menunjukkan prestasi yang baik, pihak pengusaha industri akan menawarkan bayaran lebih baik setanding dengan hasil kerja masingmasing.

Malah, sebagai tambahan, pihak syarikat atau kilang juga akan memantau hasil kerja mereka bagi memastikan proses pembelajaran berjalan dengan baik. Malah, bagi PYDC dan Fourier TVET Sdn. Bhd., kedua-dua pihak berkaitan turut akan memantau proses pratikal serta melihat keputusan semasa peserta pada tempoh bulan pertama perkhidmatan.

Sebagai tambahan, PYDC juga akan memberi subsidi sebanyak RM300 (oneoff) kepada golongan belia yang berasal daripada keluarga penerima bantuan: A. Agenda Ekonomi Saksama (AES), B. Zakat Pulau Pinang atau, C.

Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), yang memenuhi syarat kehadiran lebih daripada 80 peratus. Bagi maklumat lanjut, sila hubungi PYDC di talian, +6012 – 401 0186 / facebook.com/pydc.my.