KM syor Pusat ikut Pulau Pinang guna peranti pintar ramal lebih awal penularan denggi

GEORGE TOWN – Seperti Pulau Pinang, Ketua Menteri Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng mengesyorkan Kerajaan Persekutuan turut ‘mencuba’ kaedah pintar yang dibangunkan oleh AIME Inc. untuk mengesan serta meramal lebih awal penularan wabak denggi di tanah air ini.

Guan Eng memberitahu, pentadbirannya merupakan Kerajaan Negeri pertama negara yang saling bekerjasama dengan firma pembuat peranti perisikan pintar bagi meramal wabak denggi, berpangkalan di Lembah Silikon dekat Amerika Syarikat.

“Kami (Kerajaan Negeri) tidak mahu lebih ramai lagi nyawa hilang, jadi kami mengambil risiko untuk mengurangkan jumlah kes denggi dan menyelamatkan nyawa.

“Bayangkan, kini, para pegawai kesihatan boleh mengetahui lebih awal di mana wabak seterusnya akan berlaku, kita boleh mara satu langkah ke hadapan demi mencegah kes denggi daripada merebak.

“Kami memerlukan strategi moden untuk menangani isu ini dan (perjanjian persefahaman, MoU) ini adalah sebahagian daripada pelan CAT kami (Crush Aedes Totally),” ujarnya di sini baru-baru ini.

Guan Eng dalam pada itu turut mengadakan lawatan ke pusat operasi peranti tersebut.

Bersama-sama beliau ialah Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin sambil  disambut oleh Presiden AIME Inc., Rainier Mollol.

Sebelum itu, Mollol memberitahu, tahap ketepatan ramalan dengan menggunakan peranti pintar yang dibangunkan oleh AIME Inc. adalah 84 peratus.

“Sistem AIME meramalkan wabak denggi lanjut melalui algoritma khas yang mengumpulkan 11 paket data yang berbeza, mengandungi maklumat seperti kematian denggi, kelajuan angin, tapak penularan serta beberapa faktor lain.

“Data terkumpul kemudiannya digunakan untuk menentukan wabak denggi semasa, menjangkakan wabak pada masa depan. Data berwajib kemudiannya diseragamkan dan dipetakan pada muka Google Maps.

“Setiap bulatan tidak akan melebihi 400 meter (m), kerana kajian PBB (Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu) menunjukkan bahawa nyamuk betina yang membawa virus denggi tidak akan melampaui radius 400m.

“Tanda radius 400m dari pusat wabak denggi juga merupakan piawaian yang digunakan oleh pegawai kesihatan awam sendiri.

“Maklumat AIME akan dihantar kepada Jabatan Kesihatan untuk tindakan lanjut… protokol piawaian menetapkan bahawa pegawai kesihatan mesti membersihkan dan langkah pengasapan dalam kawasan radius 400m, selepas sebarang wabak besar,” jelasnya.