MASIH ingatkah detik cemas pada Disember 2023 apabila paip utama di dasar Sungai Perai pecah sehingga menjejaskan bekalan air kepada kira-kira 200,000 pengguna di Pulau Pinang?

Kebocoran paip berdiameter 1,350 milimeter (mm) milik Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) itu bukan sahaja mencetuskan kebimbangan dalam kalangan rakyat, malah menuntut kerja-kerja pembaikan yang mencabar dan berisiko tinggi.
Di sebalik usaha pemulihan yang mencabar di dasar sungai, muncul sekumpulan wira tidak didendang yang memainkan peranan penting dalam kerja-kerja pembaikan tersebut.
Mereka ialah penyelam komersial dan pengimpal bawah air, golongan pakar yang memiliki kemahiran khusus serta amat diperlukan ketika negara berdepan kecemasan infrastruktur.
Memandangkan bidang ini memerlukan kepakaran teknikal, ketahanan fizikal dan tahap keselamatan yang tinggi, tidak hairanlah kerjaya berkenaan mempunyai prospek pendapatan yang menarik.
Bertitik tolak daripada keperluan industri inilah, Institut Kemahiran Tinggi PERDA (PERDA-TECH) mengambil langkah proaktif dengan memperkenalkan latihan kimpalan bawah air.
Sebagai institusi pendidikan dan latihan kemahiran di bawah Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA), yang merupakan agensi di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), PERDA-TECH kini membuka laluan kerjaya berkemahiran tinggi menerusi penawaran kursus berkenaan.

Mengubah stigma terhadap TVET
Selama ini, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) sering dipandang sebelah mata.
Malah, terdapat persepsi bahawa aliran ini sekadar menjadi pilihan alternatif bagi lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang tidak berjaya melanjutkan pengajian ke universiti awam.
Namun, tanggapan tersebut semakin berubah seiring perkembangan teknologi dan permintaan industri terhadap tenaga kerja berkemahiran tinggi.
Penawaran kursus khusus seperti kimpalan bawah air membuktikan bahawa bidang TVET bukan sekadar menyediakan kemahiran asas, malah mampu membuka peluang kepada generasi muda untuk menceburi kerjaya profesional dengan prospek yang lebih luas.

Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang menyifatkan inisiatif tersebut sebagai langkah penting dalam melahirkan tenaga kerja mahir yang memenuhi keperluan sebenar pasaran industri.
“Kemasukan ke TVET bukan lagi sekadar laluan kedua, sebaliknya sudah menjadi pilihan utama ramai.
“Setahu saya, PERDA-TECH merupakan satu-satunya institusi kemahiran di bawah KKDW yang menawarkan latihan kimpalan bawah air, khususnya bagi memenuhi keperluan industri minyak dan gas.
“Selama ini kita terlalu bergantung kepada kepakaran luar negara, sedangkan kini kita sendiri sudah mampu melahirkan anak tempatan yang berkemahiran tinggi dalam bidang tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyempurnakan Majlis Konvokesyen PERDA-TECH Kali Ke-15 Tahun 2026 di Dewan Utama PERDA-TECH, Bukit Panchor, Nibong Tebal pada 26 November 2026.


Latihan eksklusif berpiawaian industri
Bagi memastikan latihan yang diberikan memenuhi keperluan sebenar industri, PERDA-TECH menubuhkan PERDA-TECH Underwater Welding Training Center menerusi kerjasama strategik dengan pemain industri, Divestuff Sdn. Bhd.
Walau bagaimanapun, Rubiah mengakui bahawa bukan mudah untuk memilih calon bagi mengikuti kursus berkenaan berikutan syarat kemasukannya yang ketat.
Hal ini kerana kemahiran mengimpal di darat memerlukan teknik tersendiri, manakala kerja-kerja penyambungan logam di bawah air menuntut ketahanan mental dan fizikal, disiplin tinggi serta kelayakan selaman profesional.
“Atas desakan industri yang sangat memerlukan pengimpal bawah air, khususnya bagi kerja-kerja penyelenggaraan, PERDA-TECH menyediakan platform latihan ini.
“Buat masa ini, pengambilan dihadkan kepada 30 orang pelatih sahaja bagi setiap sesi tahunan mengikut kapasiti fasiliti sedia ada,” jelasnya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Pengurus Besar PERDA, Datuk Mohd. Asri Baharum @ Harun atas sokongan dalam menjayakan inisiatif berkenaan.
Prospek kerjaya luas hingga ke peringkat PhD
Buletin Mutiara dimaklumkan bahawa lepasan program berkenaan yang berjaya memperoleh Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) atau diploma berpeluang meneroka pelbagai laluan kerjaya dalam sektor industri.
Kepakaran tersebut amat diperlukan dalam sektor berat seperti penerokaan minyak dan gas (O&G) luar pesisir, pembinaan pelabuhan, industri maritim serta kerja-kerja penyelenggaraan paip dan kabel bawah laut.
Lebih menarik, Rubiah berkata sijil kemahiran yang diiktiraf Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) bukanlah pengakhiran laluan akademik kerana graduan TVET turut berpeluang melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi, termasuk ijazah sarjana muda dan doktor falsafah (PhD), tertakluk kepada syarat kemasukan institusi pengajian berkaitan.
Menyentuh mengenai jaminan pekerjaan bagi kumpulan perintis yang memulakan latihan sejak tahun lalu, Rubiah memaklumkan bahawa pihaknya telah memeterai perjanjian dengan rakan industri dan sedang memuktamadkan beberapa lagi rundingan bagi memperkukuh peluang pekerjaan serta kebolehpasaran graduan.

Meneroka potensi bidang wrapping automotive
Tidak terhad kepada bidang kimpalan bawah air, PERDA-TECH turut memperluas penawaran latihan ke sektor automotif dan kreatif menerusi perasmian Bengkel Latihan Wrapping PERDA-TECH hasil kerjasama dengan Vinyl Frog Malaysia.
Bidang pemasangan lapisan pelekat pembalut kenderaan (vehicle wrapping) yang semakin mendapat tempat dalam industri automotif ini membuka peluang kerjaya baharu, khususnya dalam pengubahsuaian kenderaan, kenderaan komersial serta pengiklanan kreatif.
Menurut Rubiah, kerjasama strategik dengan pemain industri amat penting bagi memastikan pelajar bukan sahaja menguasai teori di dalam bilik kuliah, malah memperoleh pengalaman praktikal dan pendedahan kepada persekitaran kerja sebenar.
“Pendekatan ini memastikan sistem pendidikan kemahiran di PERDA-TECH sentiasa kekal relevan dan bergerak seiring dengan perkembangan teknologi semasa.
“Secara tidak langsung, pelajar turut berpeluang mendapat tawaran pekerjaan daripada pihak industri sebaik sahaja menamatkan latihan,” ujarnya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Timbalan Perdana Menteri, Y.A.B. Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi atas usaha memperkukuh pembangunan TVET serta mengubah perspektif masyarakat terhadap kepentingan pendidikan dan latihan kemahiran sebagai laluan kerjaya masa hadapan.
Teks & Gambar: ZAINULFAQAR YAACOB