Kemalangan maut, pihak berwajib digesa adakan pemantauan berkala ke atas pemandu dan kenderaan komersial

Admin

BATU MAUNG – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Maung, Dato’ Abdul Halim Hussain hari ini meluangkan masa menziarahi keluarga Allahyarham Muhammad Saifullah Muhammad Hafeiz, 16, yang maut dalam kemalangan berhampiran Setia Triangle, petang Khamis lalu.

Abdul Halim ketika ditemui menzahirkan rasa simpati kepada keluarga Allahyarham dan menyampaikan sumbangan RM1,000 bagi mengurangkan beban keluarga berkenaan.

“Takziah saya ucapkan, diharapkan bantuan ini dapat meringankan sedikit beban keluarga.

“Kita (Kerajaan Negeri) akan melihat bagaimana boleh membantu untuk khidmat guaman bagi membolehkan keluarga mendapat pembelaan sewajarnya mengikut undang-undang,” ujarnya sejurus mengunjungi Muhammad Hafeiz Mubara sekeluarga di Mukim 12, Kampung Sungai Tiram di sini tengah hari tadi.

Dalam kejadian 7 November lalu, Allahyarham Muhammad Saifullah maut ditempat kejadian, manakala seorang pemandu wanita bersama-sama dua anaknya dikejarkan ke hospital akibat cedera.

Melalui siasatan polis, pemandu bas pelancong tersebut didakwa tidak mempunyai lesen dan memandu dalam keadaan pengaruh dadah jenis methamphetamine.

Justeru itu, Abdul Halim yang juga Exco Perdagangan Antarabangsa & Dalam Negeri, Hal Ehwal Pengguna dan Pembangunan Keusahawanan menggesa pihak berwajib iaitu Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan agensi penguatkuasa yang berkaitan agar melakukan pemantauan berkala ke atas kenderaan komersial, iaitu pemandu dan juga kenderaan.

“Kerajaan Negeri memandang serius kes ini kerana ia melibatkan kehilangan nyawa mereka yang tak berdosa dan ini adalah kesalahan jenayah.

“Diharap pihak berwajib dapat memantau pemandu dan pengusaha kenderaan komersial tidak sahaja bas pelancong agar mematuhi syarat-syarat pelesenan agar penumpang dan pengguna jalan raya yang lain terjamin keselamatan.

“Kita (Kerajaan Negeri) memandang serius memandangkan Pulau Pinang adalah destinasi pelancongan, kita perlu memastikan pengunjung dan pelancong yang datang ke sini berasa selamat sepanjang berada di negeri ini,” ujarnya sambil menggesa siasatan dibuat terhadap pengusaha bas pelancongan berkenaan.

Dalam pada itu, Muhammad Hafeiz yang merupakan Pembantu Pejabat di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Ara ketika ditemui menyifatkan anaknya sebagai anak yang baik dan bertanggungjawab.

Allahyarham Muhammad Saifullah merupakan anak sulung daripada tujuh beradik. Beliau bekerja sementara sebagai penghantar pizza sejak Ramadan lalu bagi membantu menampung perbelanjaan keluarga.

Teks & Gambar : NORSHAHIDA YUSOFF