Kemiskinan bukan penghalang kejayaan, asalkan ada minat – Exco

Admin

BATU MAUNG – Exco Perdagangan Antarabangsa & Dalam Negeri, Hal Ehwal Pengguna dan Pembangunan Usahawan, Dato’ Abdul Halim Hussain menegaskan faktor kemiskinan bukanlah penghalang kepada mengejar kejayaan.

Namun, minat yang tinggi untuk menuntut ilmu dan berguru dengan sempurna adalah jalan keluar dari kepompong kemiskinan.

“Di DUN (Dewan Undangan Negeri) Batu Maung, sekiranya anda memerlukan sebarang bantuan untuk pendidikan boleh datang ke sini kita akan cuba bantu sebaik mungkin.

“Kerajaan Negeri banyak menyediakan pelbagai peluang kepada rakyat negeri ini untuk mendapatkan kualiti pendidikan terbaik.

“Kita di Batu Maung ada Penang Digital Library, buka 10pagi hingga 10malam, kalau perlukan internet percuma boleh ke sana untuk ulangkaji, komputer turut disediakan, asalkan ada minat, jangan jadikan kemiskinan sebagai penghalang,” ujar Abdul Halim ketika berucap pada Majlis Pengiktirafan Tokoh Guru & Sumbangan Kepada Pelajar B40 Yang Berjaya Masuk ke IPTA baru-baru ini.

Hadir sama, Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin dan bekas Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Penang Free School, Mohd. Ismail Ibramsa.

Majlis yang bertemakan Berguru Demi Ilmu Bina Generasi Baharu tersebut turut menyampaikan Anugerah Tokoh Guru kepada lima orang bekas pendidik di samping menyampaikan sumbangan keperluan sekolah kepada 250 orang pelajar.

Tokoh guru menerima sijil, plak dan wang tunai RM500.

Selain itu, 12 orang pelajar turut menerima bantuan kewangan RM200 ke RM400 sebagai insentif kemasukan ke Institu Pengajian Tinggi (IPT).

Abdul Halim yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Maung dalam pada itu memberitahu, kelas tuisyen percuma dan Japanese Math Class akan disambung semula dalam tempoh terdekat ini.

Tzi Tzin ketika berucap menyatakan, beliau telah memperuntukkan sebanyak RM399,000 dalam tempoh dua tahun memperkasakan pendidikan melalui sumbangan berkaitan peralatan teknologi maklumat di sekolah-sekolah kawasan Bayan Baru.

“Selain  sumbangang tersebut, RM43,000 turut dibelanjakan melalui penajaan 450 orang pelajar mendalami Sains, Teknologi, Matematik dan Kejuruteraan (STEM) di Tech Dome dan Penang Science Cluster,” katanya.

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : EXCO