MBPP bersihkan unit kediaman terbiar demi kesihatan awam

Admin

KEBUN BUNGA – Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) hari ini bertindak membersihkan lima unit kediaman terbiar yang mencetus kacau ganggu di Rumah Pangsa Padang Tembak dekat sini.

 

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo berkata, tindakan pembersihan tersebut diambil selepas pemilik unit kediaman terbiar berkenaan gagal mematuhi noti-notis yang dikeluarkan oleh MBPP.

 

“Sejak Jun 2020 lagi, Bahagian Perumahan Kerajaan Negeri telah mengenal pasti 37 unit kediaman yang dikategorikan sebagai terbiar di sini yang mana kesemuanya adalah milik persendirian.

 

“Pada 3 Jun 2020, Bahagian Perumahan Kerajaan Negeri juga bertindak memulakan proses bagi mendapatkan nasihat daripada Pejabat Penasihat Undang-Undang Negeri untuk mengenal pasti tindakan perundangan yang boleh diambil iaitu writ of vacant possession (writ milikan kosong).

 

JAGDEEP Singh Deo (berkemeja putih) turut sama dalam operasi pembersihan unit kediaman terbiar yang mencetuskan kacau ganggu di Rumah Pangsa Padang Tembak dekat sini.

“Walau bagaimanapun, 16 daripada 37 unit terbiar ini mempunyai pelbagai isu kacau ganggu termasuk menjadi sarang burung merpati (5 unit), mempunyai pokok tumpang (1), sampah (2), pintu bermasalah (4) dan banyak barangan yang ditinggalkan (4) di dalan unit tersebut.

 

“Selaras dengan Seksyen 82, Akta Kerajaan Tempatan 1976…kacau ganggu ini hendaklah dihapuskan serta-merta dan ia terletak di bawah bidang kuasa pihak berkuasa tempatan.

 

“Setelah tiga hari tamat tempoh Notis Menghendaki Kacau Ganggu Dihapuskan Serta-Merta (yang keluarkan oleh MBPP), berdasarkan pemeriksaan di kesemua 16 unit mendapati kacau ganggu masih belum dihapuskan dan pemilik gagal mematuhi peruntukan notis yang dikeluarkan.

 

Maka, MBPP di bawah peruntukan Seksyen 83, Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 mengeluarkan notis 24 jam bagi menjalankan kerja-kerja pembersihan dan penghapusan kacau ganggu kepada 16 pemilik unit terbiar dan hanya satu (pemilik) unit sahaja telah patuh.

 

“Unit-unit lain yang gagal mematuhi notis, MBPP melalui proses perundangan sedia ada akan menjalankan kerja-kerja pembersihan dan penghapusan kacau ganggu yang mana kos bil pembersihan akan diserahkan kepada pemilik unit,” jelasnya pada sidang media yang diadakan di Dewan MPKK Padang Tembak dekat sini pagi ini.

 

Turut sama, Setiausaha Bandaraya MBPP, Dato’ Ir. Addnan Mohd. Razali; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kebun Bunga, Jason Ong Khan Lee; Ketua Penolong Setiausaha Kanan (Perumahan), Bahagian Perumahan, ‘Ainul Fadhilah Samsudi serta beberapa wakil jabatan berkaitan dan Polis Diraja Malaysia.

 

Mengulas lanjut, Jagdeep memaklumkan bahawa Kerajaan Negeri amat mementingkan soal keselamatan dan kesihatan awam di negeri ini.

 

“Kita (Kerajaan Negeri) akan terus prihatin dengan kebajikan penduduk di semua skim perumahan di Pulau Pinang.

 

“(Dan) paling penting adalah keselamatan, kesihatan dan keselesaan warga Pulau Pinang…kita tidak akan berkompromi serta akan meneruskan usaha ini sampai bila-bila,” katanya.

 

KEADAAN salah sebuah unit yang bakal dibersihkan oleh Majlis Bandaraya Pulau Pinang.

Menjawab soalan pemberita berhubung tindakan sekiranya pemilik masih ingkar arahan notis, Jagdeep memberitahu bahawa pemilik ingkar tersebut boleh dikenakan denda sebanyak RM250 sehari selepas tamat tempoh notis.

 

Selain itu, pihak berkuasa tempatan juga berhak memasuki premis tersebut bagi menjalankan kerja-kerja pembersihan dan segala kos atau bil pembersihan akan diserahkan kepada pemilik.

 

Dalam perkembangan lain, Jagdeep berkata, Rumah Pangsa Padang Tembak merupakan antara skim perumahan yang disenarai pendek bagi melaksanakan pembaharuan semula bandar (urban regeneration).

RUMAH Pangsa Padang Tembak yang kini hampir mencapai usia 50 tahun.

 

“Visi jangka panjang Kerajaan Negeri terhadap skim perumahan lama dan tidak kondusif didiami adalah pembaharuan semula yang mana Jawatankuasa Pembaharuan Semula Bandar telah diwujudkan sejak 2015.

 

“Selain menjimatkan kos penyelenggaraan, pembaharuan semula bandar juga menepati ciri-ciri kediaman semasa dari segi kemudahan dan keluasan unit, walau bagaimanapun dalam aspek perundangan ia memerlukan persetujuan semua pemilik unit,” katanya.

 

Difahamkan, terdapat 3,130 unit milikan individu di Rumah Pangsa Padang Tembak di atas tapak berkeluasan 16.7 ekar. Skim perumahan yang turut disenaraikan dalam inisiatif pembaharuan semula bandar adalah Taman Free School; Flat Mahsuri; Taman Siakap dan Mak Mandin Lama.

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : LAW SUUN TING