Kempen ❤️PENANG berjalan seiring gagasan Visi Penang2030

Admin

GEORGE TOWN – “Pada pengamatan saya, Kempen ❤️PENANG lebih senang difahami dan juga disambut oleh orang awam berbanding dengan Visi Penang2030 yang sehingga kini tidak ramai boleh menyebut temanya (iaitu Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara).”

Demikian kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tambun, Goh Choon Aik semasa sesi soalan tambahan kepada Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow dalam Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Ke-14 di sini pada 23 November 2022.

Dalam reaksi spontan, Kon Yeow yang juga ADUN Padang Kota memberitahu bahawa Siri Jelajah Ketua Menteri ❤️PENANG diadakan ke semua kawasan Parlimen Negeri Pulau Pinang sejak 16 Jun 2022 antara lain adalah untuk menjelaskan dalam bahasa yang lebih mudah mengenai Visi Penang2030.

“Kita (Kerajaan Negeri) mengakui kempen ❤️PENANG ini lebih senang dianjurkan, dan daripada kempen itu telah menghasilkan Jelajah Ketua Menteri ❤️PENANG ke (semua) 13 kawasan Parlimen yang merangkumi 40 KADUN (Kawasan Dewan Undangan Negeri); sempat dilawati dalam tempoh empat atau lima bulan (sebelum ini).

“(Siri Jelajah Ketua Menteri ❤️PENANG) ini adalah sebahagian strategi memandangkan apa yang disebut oleh YB (Choon Aik) sendiri (iaitu) bukan senang untuk kita menyampaikan Visi Penang2030, walaupun (visi ini) telah dilancarkan empat tahun dahulu,” responsnya yang juga ADUN Padang Kota merangkap Ahli Parlimen baharu bagi kawasan P046 Batu Kawan.

Di samping itu, Kon Yeow yang juga Exco Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi menjelaskan bahawa kempen ❤️PENANG serta siri jerayawara ke semua kawasan Parlimen antara lain adalah demi merealisasikan salah satu tema Visi Penang2030 iaitu Memperkasa Rakyat Bagi Meningkatkan Penyertaan Masyarakat.

Terdahulu, Kon Yeow pada hujung bulan Ogos 2018 telah melancarkan dokumen Visi Penang2030 yang berperanan sebagai gagasan pembangunan masa depan negeri Pulau Pinang sehingga tahun 2030.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI