423.7 tan pengeluaran kerang dihasilkan dengan nilai RM4.45 juta – Dr. Norlela

GEORGE TOWN – Sehingga September 2022, jumlah pengeluaran kerang adalah sebanyak 423.70 tan dengan nilai hasil kira-kira RM4,452,962.17.

Exco Agroteknologi & Keselamatan Makanan, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan, Dr. Norlela Ariffin berkongsi rekod kejayaan projek perintis ternakan kerang secara tersusun tersebut, sebagai menjawab soalan lisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Berapit, Heng Lee Lee.

“Nilai pengeluaran ini boleh dipertingkatkan dengan latihan dan teknik ternakan terbaharu kepada para penternak kerang dalam menggantikan penggunaan kaedah ternakan lama yang kurang efektif,” ujar Norlela dalam Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri Ke-14 di sini pada 23 November 2022.

Di samping itu, Norlela memberitahu bahawa pihaknya sedang melaksanakan beberapa lagi projek perintis terbaru seperti 26 lot kebun kerang di Seberang Perai Utara (SPU) dan penyusunan semula Lesen Pendudukan Sementara (TOL) kerang di Seberang Perai Selatan (SPS) dan Seberang Perai Tengah (SPT) yang berjarak dalam 1.2 sehingga 1.4 kilometer daripada kawasan pantai.

“Perkara ini adalah supaya lokasi TOL kebun kerang jauh daripada kawasan pencemaran muara sungai iaitu Sungai Udang dan Sungai Juru serta jauh dari air kumbahan manusia dan industri,” jelasnya lagi yang juga ADUN Penanti.

Tambah beliau, kaedah penternakan kerang dengan menyusun semula TOL berkaitan supaya tidak akan ada monopoli kawasan pembenihan kerang oleh seorang penternak besar saja, di samping untuk memberi peluang kepada nelayan serta Persatuan Nelayan setempat mendapat limpahan manfaat daripada polisi negeri ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Norlela memaklumkan tiga jeti pendaratan kerang yang dilengkapi peralatan ‘Gockel Grader’ – digunakan untuk memberi gred saiz kerang – dan Overhead Crane di Sungai Abdul, Sungai Lahar Endin dan kerja penaiktarafan jeti Bagan Ajam di SPU telah siap dibina pada hujung Oktober 2022.

“(Projek yang telah siap tersebut) dengan peruntukan RM 1.2 juta dan seterusnya dioperasikan oleh Persatuan Nelayan,” katanya sambil memberitahu bahawa pihak Lembaga Kemajuan lkan Malaysia (LKIM) turut terlibat membantu kerja-kerja memberi benih kerang kepada Persatuan Nelayan.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI