Kempen cegah barah paru-paru, PENBAR serentak

GEORGE TOWN – Hospital Kanser Mount Miriam melancarkan kempen ‘Selamatkan Paru-Paru, Selamatkan Nyawa’, serentak dengan program kesedaran Pulau Pinang Bebas Asap Rokok (PENBAR) anjuran Kerajaan Negeri.

Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin semasa merasmikan program itu berkata, perokok pasif turut mempunyai risiko tinggi untuk mengidap sakit barah sekiranya lazim terdedah pada asap rokok.

“(Merokok) ini berisiko untuk dijangkiti kanser paru-paru dan kempen ini mampu mencapai matlamat dengan sokongan orang ramai.

“Kita masih perlu mendidik orang ramai mengenai pri penting bebas asap rokok di negeri ini dan setakat ini, kempen (PENBAR) mendapat sambutan yang baik,” ujarnya pada kempen ‘Selamatkan Paru-Paru, Selamatkan Nyawa’ di sini baru-baru ini.

Dr. Afif yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya berkata, Kerajaan Negeri sedang mempertimbang penguatkuasaan berwajib mulai bulan Jun tahun depan demi menjayakan lagi kempen PENBAR.

Sebelum itu, Ketua Pegawai Eksekutif Hospital Kanser Mount Miriam, Tham Wei Wei melahirkan rasa gembira kerana Kerajaan Negeri memberi sokongan langsung pada kempen kesihatan tersebut.

“Kanser paru-paru tidak boleh dipandang remeh kerana penyakit ini mampu memusnahkan kehidupan orang-orang yang kita sayangi,” jelasnya.

Tambah beliau, Pusat Penyelidikan Ketagihan Nikotin Universiti Malaysia pada tahun 2013 mendedahkan, kira-kira 10,000 kematian direkodkan berpunca oleh merokok.

Selepas majlis ucapan perasmian itu, Afif turut menyempurnakan majlis penyerahan payung kempen PENBAR kepada penarik beca terpilih.

Sejurus itu, Afif bersama-sama jawatankuasa kerja Hospital Kanser Mount Miriam serta tetamu lain kemudiannya dibawa mengelilingi bandar George Town menaiki beca pelancongan bagi mengedar plakad esksklusif PENBAR kepada orang awam di sini.